BANDAR SERI BEGAWAN, 15 JULAI – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam berkenan berangkat ke Istiadat Barisan Kehormatan Bersempena dengan Memperingati Hari Puja Usia Yang Ke-78 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam yang berlangsung di Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien, Bandar Seri Begawan hari ini.
Turut berkenan berangkat ke istiadat itu ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Menteri Kanan di Jabatan Perdana Menteri, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Perdana Wazir Sahibul Himmah Wal-Waqar Pengiran Muda Mohamed Bolkiah, Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Bendahara Seri Maharaja Permaisuara Pengiran Muda Haji Sufri Bolkiah dan Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Digadong Sahibul Mal Pengiran Muda Haji Jefri Bolkiah.
Keberangkatan Baginda Sultan dan kerabat-kerabat Diraja dijunjung oleh Yang Di-Pertua Adat Istiadat Negara, Yang Amat Mulia Pengiran Indera Setia Diraja Sahibul Karib Pengiran Anak Haji Idris, Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku Pengerusi Jawatankuasa Kebangsaan Sambutan Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-78 Tahun, Pemerintah Angkatan Bersenjata Diraja Brunei, Mejar Jeneral Dato Paduka Seri Haji Muhammad Haszaimi bin Bol Hassan dan Pesuruhjaya Polis Diraja Brunei, Dato Paduka Seri Haji Mohammad Irwan bin Haji Hambali.
Baginda Sultan kemudian berkenan menerima Tabik Hormat Diraja dan diiringi dengan Tembakan Meriam sebanyak 21 das. Baginda Sultan seterusnya berkenan berangkat memeriksa pasukan-pasukan dalam perbarisan tersebut.
Acara diteruskan dengan pasukan-pasukan perbarisan dan panji-panji Kebawah Duli Yang Maha Mulia, Panji-Panji Pasukan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei dan Panji-Panji Diraja Pasukan Polis Diraja Brunei berjalan lalu di depan Pentas Diraja dalam gerak perlahan dan cepat sebelum beratur semula yang diikuti dengan laungan tiga kali Daulat untuk Baginda Sultan.
Pasukan-pasukan Perbarisan kemudian mara ke hadapan untuk diperhati semula, Tabik Hormat Diraja dan diikuti dengan terbang lalu pesawat-pesawat Tentera Udara Diraja Brunei.
-- Courtesy of Media Parmata