30 belia tamatkan Program Q4L
 Posted on : Jul 22, 2024, 1:41PM   24 total views  Category : Local News
Gambar ramai para peserta seusai program berkenaan

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 JULAI – Seramai 30 orang peserta terdiri daripada belia berumur 18 hingga 35 tahun dengan latar belakang daripada pelbagai bidang pendidikan dan kerjaya telah berjaya menamatkan Program Al-Quran4Life (Q4L) 2.0 dan menerima sijil pada petang kelmarin.

Sehubungan itu, Majlis Penutup Program Al-Quran4Life (Q4L) 2.0 dan penyampaian sijil kepada peserta-peserta tersebut diadakan bertempat di Pusat Da’wah Islamiah.

Hadir selaku Tetamu Khas dan seterusnya menyampaikan sijil penghargaan kepada para peserta ialah Ketua Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah, Awang Isham bin Awang Ismail.

Program dengan tema ‘Al-Qur’an Dijaga, Dunia Akhirat Terpelihara berkenaan diadakan selama 2 hari bermula Sabtu, 20 Julai dan berakhir kelmarin, 21 Julai dan dikendalikan oleh Badan Sukarelawan Belia Da’ie dengan sokongan Urus Setia Program Keugamaan Belia, Pusat Da’wah Islamiah.

Program tersebut sebagai usaha awal untuk mengenal pasti pelapis belia berjiwa Al-Quran serta pemangkin mendapatkan tauliah Al-Quran. Ia juga selaras dengan objektif penubuhan Belia Da’ie untuk mengumpulkan golongan belia yang berminat dalam dakwah melalui usaha pencarian bakal-bakal generasi Al-Quran untuk Program Akademi Da’wah 5.0 akan datang,

Melalui program yang dianjurkan, para peserta didedahkan kepada 5T iaitu Ta’lim, Tarbiyyah, Tadabbur, Tahsin dan Tahfiz. Antara aktiviti program termasuk Tazkirah Subuh bertajuk Tadabbur Surah Al-Mulk yang disampaikan oleh Penolong Pegawai Perkembangan Ugama, Pusat Da’wah Islamiah iaitu Awang Ahmad Muzhafar bin Haji Marsidi; Ilmu Ulum Al-Qur’an bagi memberi kefahaman kepada para peserta mengenai kandungan Al-Quran dan pengajarannya yang disampaikan oleh Penolong Pendaftar Fakulti Bahasa Arab, Universiti Islam Sultan Sharif Ali, Dr. Muhammad Yadiy bin Haji Mat Yassin; dan Da’ie bertauliah Majlis Ugama Islam BruneiN(MUIB), Dayang Siti Hurul-Ain Diyana @ Vienna binti Haji Abdul Majid, serta praktikal secara individu dan berkumpulan seperti solat-solat sunat dan amalan zikir harian.

Pusat Da’wah Islamiah berharap dengan kendalian program seumpama ini akan dapat memupuk semangat para peserta melalui pengetahuan secara teori dan praktikal yang telah dipelajari itu supaya terus diamalkan dan istiqamah serta sentiasa berdamping dengan Al-Quran sebagai rutin harian.

-- Courtesy of Borneo Bulletin

HITS: