Pameran sempena Minggu PSI tingkat kesedaran masyarakat
 Posted on : Aug 6, 2025, 8:17AM   1 total views  Category : Local News
Suasana sekitar pameran PSI di Hospital PMMPMHAMB Tutong. – GAMBAR SERAHAN KEMENTERIAN KESIHATAN

Oleh Salawati Haji Yahya –

TUTONG, 5 OGOS – Ke arah memberi pendidikan dan meningkatkan kesedaran orang ramai dalam mengukuhkan rantaian penyusuan susu ibu (PSI) dan bagi membangunkan sistem sokongan yang mampan, Klinik Obstetrik dan Ginekologi, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah (PMMPMHAMB) telah menganjurkan sebuah pameran sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia yang diadakan di lobi hospital berkenaan.

Pameran sempena Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia itu diadakan bermula pada 1 Ogos lalu hingga 7 Ogos, pada pukul 8 pagi hingga 12 tengah hari dengan membawa tema pada tahun ini, Membangun Sistem Sokongan Yang Mampan.

Meskipun membawa tema yang berbeza setiap kali penganjuran, namun sambutan itu tetap membawa matlamat yang sama iaitu bagi meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap isu-isu berkaitan dengan PSI.

Selain itu, pameran tersebut juga diadakan bagi tujuan untuk meningkatkan komitmen jururawat dalam memberi pendidikan kesihatan penyusuan susu ibu, berinteraksi dengan orang ramai untuk mendidik masyarakat mengenai kepentingan PSI.

Pameran tersebut juga mempamerkan poster-poster yang berkaitan dengan pendidikan penyusuan susu ibu, termasuk model-model payudara, saiz perut anak damit serta kaedah penyimpanan susu ibu yang betul.

Di samping itu, beberapa aktiviti-aktiviti menarik turut sediakan bagi menarik minat para pengunjung hospital dan antaranya adalah sesi interaksi dengan pengunjung hospital, sesi khidmat nasihat PSI juga akan diadakan secara walk-in.

Manakala, Perkhidmatan Obstetrik dan Ginekologi, Hospital PMMPMHAMB juga akan memulakan perkhidmatan baharu iaitu Perkhidmatan Sokongan Penyusuan Susu Ibu dan perkhidmatan ini akan dibukakan untuk ibu-ibu yang baru melahirkan anak dan menghadapi cabaran atau masalah sepanjang melakukan PSI serta memerlukan sokongan dan bantuan dari jururawat atau bidan.

Turut hadir pada majlis berkenaan ialah pegawai serta kakitangan Hospital PMMPMHAMB, Tutong.

-- Courtesy of Media Permata

HITS: