Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – Semangat tanggungjawab kolektif dan keprihatinan terhadap masa depan negara jelas tergambar sepanjang perbahasan Usul Wawasan Brunei 2035 yang berlangsung di Dewan Majlis Mesyuarat Negara, dengan penglibatan aktif serta pandangan bernas daripada Ahli-ahli Yang Berhormat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Awang Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof dalam rumusan beliau menyatakan bahawa perbahasan yang berlangsung bukan sahaja bersifat dasar, malah mencerminkan satu majlis syura yang penuh muhasabah dan semangat kebersamaan.
“Setiap cadangan dan penekanan yang dikemukakan menunjukkan iltizam bersama untuk memastikan Wawasan Brunei 2035 direalisasikan secara inklusif dan mampan dan bukan sekadar menjadi aspirasi dasar semata-mata,” ujar Yang Berhormat Menteri.
Yang Berhormat turut menekankan bahawa pelbagai isu strategik telah dibangkitkan dalam perbahasan, termasuk aspek kecekapan dan ketelusan dalam urus tadbir, penyelarasan dasar merentas agensi, kesiapsiagaan modal insan, pemerkasaan institusi kekeluargaan dan sosial, serta pembangunan yang adil dan berpaksikan rakyat.
Aspek keselamatan dan kestabilan negara, hubungan luar berprinsip, serta transformasi ekonomi ke arah pertumbuhan yang berdaya saing dan kukuh juga menjadi tumpuan dalam perbahasan.
Dalam menyokong pelaksanaan Wawasan Brunei 2035, beliau menekankan pentingnya tiga blueprint utama iaitu Manpower Blueprint, Social Blueprint dan Economic Blueprint yang dilaksanakan secara bersepadu, kerana ketiga-tiganya saling melengkapi dalam menjana pembangunan holistik negara.
“Pendekatan whole-of-government dan whole-of-nation bukan lagi satu pilihan, tetapi suatu keperluan yang mendesak untuk memastikan dasar-dasar yang digubal benar-benar diterjemahkan kepada hasil yang memberi manfaat nyata kepada rakyat dan negara,” jelas beliau.
Yang Berhormat turut menjunjung tinggi titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam dalam Perutusan sempena Awal Tahun Masihi 2025 yang menekankan bahawa perpaduan merupakan kunci pembangunan negara.
“Jika rakyat kekal bersatu, hidup harmoni, saling menghormati dan bekerjasama, ditambah pula dengan pegangan agama yang kuat, maka segala cabaran akan dapat ditangani dengan baik,” titah Baginda sebagaimana dipetik oleh Yang Berhormat.
Yang Berhormat Pehin Menteri juga menegaskan bahawa perpaduan kebangsaan serta pegangan agama yang kukuh adalah teras kepada kestabilan dan kedaulatan negara. Nilai-nilai seperti keharmonian sosial, hormat-menghormati, dan kerjasama rentas masyarakat serta agama perlu diperkukuhkan.
Menurut Yang Berhormat, keberhasilan Wawasan Brunei 2035 memerlukan penglibatan aktif semua pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan, masyarakat sivil, para belia, wanita, dan usahawan. Setiap individu harus menyedari peranan mereka dalam pembangunan negara.
“Wawasan ini bukan sekadar dokumen dasar, tetapi merupakan hasrat kebangsaan untuk menjadikan Negara Brunei Darussalam sebuah negara berilmu, berdaya saing dan beridentiti kebangsaan yang utuh,” tegas Yang Berhormat.
Sehubungan itu, Yang berhormat menggesa semua pihak untuk tampil sebagai pemacu dan pelaksana kepada Wawasan Brunei 2035, bukan hanya sebagai penerima manfaat, dalam memastikan kejayaan visi negara secara menyeluruh dan inklusif.
-- Courtesy of Media Permata