Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 8 OGOS – BYD Brunei melalui pengedar rasmi mereka, Maju Motors Sdn Bhd, telah mengumumkan inisiatif terbaru bagi memperkukuh komitmen terhadap perkhidmatan selepas jualan yang cemerlang serta kepuasan pelanggan.
Berkuat kuasa serta-merta, Maju Motors menjamin harga paling rendah untuk alat ganti dan servis di kalangan semua pengedar sah kereta di Brunei, menawarkan kemudahan, ketelusan dan ketenangan fikiran kepada setiap pemilik kenderaan BYD.
Inisiatif itu dibuat bersempena kejayaan model BYD Sealion 6 menjadi model kereta nombor satu di Brunei pada tahun ini. Maju Motors turut memperlihatkan kesemua alat ganti Sealion 6 di Bilik Pameran BYD Telanai sebagai tanda kesiapsiagaan penuh dalam menyokong pemilik BYD.
Pengarah Urusan Maju Motors Sdn Bhd, Chan Key Hong berkata “Kami bukan sahaja komited dalam menawarkan kenderaan inovatif seperti Sealion 6, malah memastikan sokongan selepas jualan yang terbaik dengan stok alat ganti yang sentiasa ada, servis cepat dan harga berpatutan.”
Antara komitmen selepas jualan yang ditawarkan ialah paparan alat ganti yang tersedia secara telus di bilik pameran, inventori sedia ada untuk kelajuan servis, juruteknik BYD bertauliah, peralatan khusus serta harga paling kompetitif di kalangan pengedar sah dan pasukan pekerja yang berdedikasi dan sedia berkhidmat untuk para pelanggan.
Langkah itu selari dengan misi BYD Brunei iaitu bagi menyediakan mobiliti masa depan dengan sokongan tempatan bertaraf dunia.
Maju Motors turut berbangga menjadi peneraju kecemerlangan servis di tengah peningkatan permintaan kenderaan elektrik dan hibrid di Brunei.
-- Courtesy of Media Permata