Oleh Salawati Haji Yahya
BANDAR SERI BEGAWAN, 15 OGOS – Baiduri Bank telah menerima kunjungan pelajar Tahun 11 dari Sekolah Menengah Masin dalam lawatan sambil belajar sekolah berkenaan ke Enterprise Hub di Serusop, baru-baru ini.
Lawatan pendidikan itu antara lain bertujuan memberi pendedahan awal kepada kerjaya dalam industri perbankan.
Bank berkenaan dalam siaran akhbar yang dikeluarkan hari ini mengongsikan, sesi itu direka untuk memberikan pelajar gambaran secara langsung mengenai pelbagai laluan kerjaya yang terdapat dalam perkhidmatan kewangan, daripada operasi barisan hadapan hingga ke peranan dalam pengurusan kekayaan, kemapanan, teknologi, dan sumber manusia.
Pasukan Pemerolehan Bakat bank telah memimpin taklimat interaktif mengenai kemahiran dan ciri-ciri yang dihargai dalam bidang perbankan, serta peluang pembangunan kerjaya yang mungkin tersedia untuk graduan masa hadapan.
Sebagai sebahagian daripada program itu, para pelajar turut menyertai sesi pengenalan kepada profil korporat Baiduri Bank, perjalanan kemapanan di bawah inisiatif Baiduri Greenprint dan asas celik kewangan.
Rombongan pelajar sekolah berkenaan juga berpeluang menyaksikan operasi harian dan memahami lebih lanjut mengenai peranan berhubung secara langsung dengan pelanggan yang menjadi asas kepada perkhidmatan bank.
Sementara itu, Ketua Bahagian Sumber Manusia dan Pentadbiran Kumpulan, Veronica Chong antara lain menjelaskan, lawatan itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas pihak bank dalam melabur kepada tenaga kerja masa depan Brunei.
“Kami percaya bahawa memperkasakan generasi akan datang bermula dengan pendedahan awal dengan menunjukkan kepada pelajar bagaimana keadaan sebuah bank moden mampu menyumbang kepada pembangunan negara sejajar dengan minat mereka dalam bidang kerjaya pada masa depan,” ujarnya.
“Di Baiduri Bank, kami memberi tumpuan kepada mewujudkan tempat kerja yang bedaya maju. Berinteraksi dengan para pelajar pada peringkat ini membantu kami membina kemahiran yang lebih bermanfaat untuk tahun-tahun mendatang,” jelasnya.
Menerusi program pendidikan dan peluang pembelajaran berasaskan kemahiran, pihak bank tersebut berhasrat untuk menyokong matlamat negara di samping membina nilai bagi jangka masa panjang untuk masyarakat.
-- Courtesy of Media Permata