BANDAR SERI BEGAWAN, Khamis, 18 September. – Pelancaran Liga Super Brunei (Brunei Super League-BSL) bagi Musim 2025 / 2026 diadakan hari ini bertempat Dewan Teater, Rumah Persatuan Bola Sepak Brunei Darussalam (FABD), di sini.
Hadir melancarkan acara berkenaan, Pemangku Presiden FABD, Pengiran Haji Kamarunsalehin bin Pengiran Haji Kamis.
Terdahulu itu, Pemangku Presiden FABD dalam ucapannya menjelaskan pelancaran hari ini bukan sahaja menandakan permulaan musim bola sepak yang baharu dan penuh keterujaan, malah satu pernyataan kukuh mengenai daya tahan serta komitmen mereka.
Tambahnya, walaupun pelbagai cabaran dihadapi FABD sepanjang tahun ini, BSL tetap berdiri sebagai lambang pertumbuhan, semangat dan penyatuan bola sepak di negara kita.
Bola sepak di Negara Brunei Darussalam tekannya, tidak pernah berhenti, ia terus maju, memberi inspirasi kepada belia, mengeratkan hubungan masyarakat dan memperkukuh ikatan antara kelab serta pihak berkepentingan.
Kemudian, majlis diteruskan dengan Majlis Menandatangani Perjanjian Bersama Penaja, iaitu TLT Enterprise, selaku penaja air minuman rasmi (Suci Drinking Water) yang diwakili oleh May Goh; Kelme Brunei, selaku penaja bola perlawanan rasmi dan jersi pengadil yang diwakili oleh Awang Ahmad Mas'oud Awang Haji Muhd Halimi; Cosmopolitan College yang diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Cosmopolitan College, Daniel Jeyasundrakumar; Sports Connect selaku rakan media yang diwakili oleh Pengarah Projek, Awang Asfadillah Isham bin Haji Salim; dan BulaItuBulat, selaku rakan rasmi 'podcast', yang diwakili oleh Pengasas Bersama BulaItuBulat, Kamal Metuddin.
Sementara itu, mewakili bagi pihak FABD ialah Setiausaha Agung FABD, Awang Ahmad Za'eem bin Omarali.
Dengan sokongan para penaja, BSL bakal menjanjikan satu lagi musim yang penuh bermakna buat para pemain, kelab dan para peminat.
Majlis berkenaan menghimpunkan wakil kelab, penaja serta pihak berkepentingan utama bagi memeterai penyertaan dan sokongan mereka terhadap kejohanan bola sepak utama negara.
BSL terus menjadi liga tertinggi negara dengan menyediakan platform kepada bakat tempatan untuk bersaing di peringkat tertinggi, di samping memupuk kesatuan dan semangat dalam kalangan peminat bola sepak.
BSL pada musim ini menampilkan 12 kelab akan bersaing dalam jadual perlawanan penuh di pelbagai venue, dengan sepak mula ditetapkan pada Jumaat, 19 September 2025.
Kelab-kelab yang akan beraksi kali ini ialah BSRC Football, MS PPDB, Jerudong FC, Indera SC, Wijaya FC, Kasuka FC, KB FC, Hawa FC, Lun Bawang FC, MS ABDB, Kota Ranger FC, dan Rimba Star FC.
Para peminat boleh menjangkakan perlawanan yang mendebarkan, program libat urus komuniti, serta pendedahan yang lebih besar kepada bola sepak tempatan.
FABD merakamkan penghargaan tulus kepada semua penaja dan rakan kerjasama yang telah menzahirkan sokongan mereka bagi BSL Musim 2025/2026.
-- Courtesy of Palita Bruhnei