BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Di peringkat ASEAN, Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) merupakan nadi hidup komuniti, pemacu inovasi, pengangkat ekonomi tempatan, menyokong mata pencari bagi jutaan di serata rantau serta membantu untuk mengurangkan jurang pembangunan.
“Tidak dapat dinafikan bahawa kedayatahanan ASEAN berkait rapat dengan PMKS di mana ia tertanam secara mendalam di ekonomi serantau ASEAN.
Perkara itu dinyatakan oleh Setiausaha Tetap (Ekonomi, Perdagangan dan Industri), Kementerian Kewangan dan Ekonomi, Dr Hajah May Fa’ezah binti Haji Ahmad Ariffin dalam ucapan alu-aluannya dalam National Dissemination Seminar for the ASEAN SME Policy Index (ASPI) 2024 bagi Brunei Darussalam yang berlangsung di Hotel Radisson, Bandar Seri Begawan, hari ini.
Beliau menyatakan lagi di peringkat kebangsaan, PMKS kita adalah amat penting dalam membentuk landskap ekonomi di mana untuk memastikan kejayaan berterusannya, usaha kolektif adalah mustahak bagi membina sebuah ekosistem mantap yang memperkasa PMKS untuk maju, berinovasi dan menyumbang kepada ekonomi secara signifikan.
Dalam hubungan itu, beliau menerangkan seminar yang diadakan menandakan mercu tanda penting dalam usaha kolektif untuk mengukuhkan ekosistem berkenaan bagi PMKS bukan sahaja di Negara Brunei Darussalam tetapi juga di seluruh ASEAN.
Bagi Brunei Darussalam, ulasnya, dapatan ASPI 2024 mengesahkan semula perkembangan yang telah dilaksanakan dalam mengukuhkan ekosistem pembangunan PMKS negara.
Beliau mengongsikan hasil dapatan menunjukkan peningkatan yang mantap dalam kesemua 8 dimensi berbanding dengan 2018 di mana ia mencerminkan pendekatan seluruh negara (whole of nation) dalam memupuk persekitaran menyokong bagi pertumbuhan perusahaan.
Menerusi konsultasi ekstensif dengan lebih 20 pihak berkepentingan kebangsaan, ia telah menyediakan gambaran yang berharga dalam keberkesanan inisiatif masa kini dan mengenal pasti peluang-peluang bagi kolaborasi lanjut dan penghalusan dasar.
“Proses kerjasama yang diterajui oleh BEDB dan Bahagian IBE ini menunjukkan bagaimana perkongsian antara kerajaan, sektor swasta dan institusi boleh menjana hasil praktikal dan membimbing penggubalan dasar berasaskan bukti.”
Dr Hajah May Fa’ezah seterusnya menyatakan bahawa adalah amat menggalakkan untuk mengambil maklum bahawa dapatan daripada ASPI 2024 menunjukkan prestasi terbaik bagi Brunei direkodkan dalam Akses kepada Pembiayaan dan Rangka Kerja Institusi.
Hasil dapatan itu, jelasnya, mencerminkan rangka kerja sokongan kewangan yang mantap dan peningkatan koordinasi serta inisiatif kebangsaan antara pihak berkepentingan yang relevan.
Salah satu mercu tanda utama yang diiktiraf dalam penilaian ASPI 2024 ialah penerimaan pakai definisi PKS Brunei Darussalam yang memberikan kejelasan dan ketekalan merentas dasar dan program.
Beliau seterusnya mendedahkan bahawa perkembangan positif juga disaksikan dalam Produktiviti, Teknologi dan Inovasi serta Perusahaan Inklusif dan Sosial yang mengetengahkan peningkatan penekanan kepada pendigitalan, keusahawanan dan pertumbuhan inklusif.
Secara keseluruhannya, Brunei berada di kedudukan antara peringkat pertengahan ASEAN, mencerminkan ekosistem PMKS yang semakin matang dengan potensi yang kukuh untuk inovasi dan pertumbuhan.
Walaupun perkembangan kita amat menggalakkan, tegasnya lagi, laporan itu juga mengetengahkan bidang-bidang yang memerlukan perhatian dan penambahbaikan lanjut.
“Melangkah ke hadapan, saya menggesa kita untuk memanfaatkan penemuan ini untuk memperhalusi lagi strategi kebangsaan kita dan meningkatkan penyelarasan di kalangan agensi berkaitan.”
-- Courtesy of Media Permata