Pelakon Jackie Chan mencuri perhatian warganet selepas tular aksi mesra dia bersama bersama penyanyi Joey Yung.
Kejadian itu dikatakan berlaku ketika acara The Greater Bay Area Film Concert 2025 yang berlangsung di Macau pada 28 September lalu.
Dalam video berkenaan, Jackie Chan, 71, dilihat duduk bersebelahan dengan Joey, 45, sebelum menyandarkan tangannya di belakang kerusi penyanyi itu.
Memetik laporan mStar, tidak lama kemudian, Jackie dilihat menepuk bahagian belakang Joey yang ketika itu mengenakan gaun dengan potongan terbuka, sebelum merangkul bahunya secara ringkas.
Namun, aksi itu nyata mengundang rasa kurang senang dalam kalangan warganet.
Joey kemudiannya dilihat berdiri dan menukar tempat duduk, dibantu oleh Albert Yeung, individu berpengaruh dalam industri hiburan Hong Kong serta Pengerusi kepada Emperor Group, agensi yang menaungi penyanyi itu sendiri.
Situasi itu telah mencetuskan perdebatan hangat di ruang maya, dengan ramai yang melabelkan tindakan Jackie sebagai keterlaluan dan tidak menghormati wanita.
Namun begitu, tidak semua melihat insiden ini dari sudut negatif, ada juga yang berpendapat ia sekadar salah faham dan reaksi Jackie hanyalah isyarat biasa tanpa niat jahat.
Tampil menjernihkan keadaan, pengurus kepada Joey iaitu Mani Fok menegaskan tiada sebarang perbuatan gangguan seksual terhadap artisnya.
Situasi itu hanyalah salah faham dan Jackie langsung tiada niat melakukan perkara yang tidak senonoh.
Mani turut menjelaskan pada awalnya, Albert Yeung duduk di sebelah Jackie Chan, namun mereka bertukar tempat untuk memberi ruang kepada Joey yang mahu bergambar bersama dua selebriti lain.
Tambahnya lagi, kesemua tempat duduk pada malam itu sudah diatur dan dilabel dengan nama.
Tindakan Jackie yang menepuk bahu Joey hanyalah sebuah isyarat sopan bagi memberitahu Albert akan kembali ke tempat duduk asal. – Agensi
-- Courtesy of Media Permata