BANDAR SERI BEGAWAN, 21 OKT – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam akan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 dan Sidang-sidang Kemuncak Berkaitan yang akan diadakan di Kuala Lumpur, Malaysia pada 26 hingga 28 Oktober ini.
Malaysia selaku Pengerusi ASEAN tahun ini, akan mempengerusikan sidang-sidang kemuncak tersebut yang akan menghimpunkan ketua-ketua negara dan kerajaan ASEAN dan Republik Demokratik Timor-Leste serta rakan-rakan dialog bagi memperkembangkan perbincangan dalam mengukuhkan perpaduan ASEAN dengan meningkatkan kepercayaan strategik dalam kalangan negara.
Di samping itu, mendorong komitmen yang lebih tinggi ke arah meningkatkan perdagangan dan pelaburan dalam ASEAN dan memastikan penekanan elemen inklusiviti dan kemampanan dalam usaha-usaha pembangunan komuniti.
Semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 awal tahun ini, para pemimpin telah meluluskan Deklarasi Kuala Lumpur mengenai ASEAN 2045: Our Shared Future, yang membentuk hala tuju dan masa depan ASEAN untuk dua dekad yang akan datang dalam menjadi Komuniti ASEAN yang berdaya tahan, inovatif, dinamik dan berpaksikan rakyat pada tahun 2045, di mana ASEAN akan menjadi pusat pertumbuhan di rantau Indo-Pasifik.
Salah satu lagi hasil utama ialah persetujuan para pemimpin untuk menjadikan Republik Demokratik Timor-Leste sebagai negara ahli ASEAN ke-11 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47.
Di bawah tema pengerusi tahun ini iaitu Keterangkuman dan Kemampanan, kemajuan bersama untuk ASEAN diberikan penekanan bagi memastikan tiada sesiapa tertinggal, sekali gus menggariskan komitmen ASEAN ke arah memperkukuh keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau dalam kerangka yang inklusif, mampan dan berorientasikan masa hadapan.
-- Courtesy of Media Permata