FRANKFURT, 21 OKT – Penyerang Liverpool, Hugo Ekitike bakal kembali berdepan bekas kelabnya, Eintracht Frankfurt dalam saingan Liga Juara-Juara esok dan dia akan mendapati pasukan itu kini jauh berbeza daripada yang ditinggalkannya pada bulan Julai lalu.
Musim lalu, Frankfurt layak ke Liga Juara-Juara selepas menamatkan saingan dalam kelompok empat teratas Bundesliga buat kali pertama dalam sejarah kelab.
Kedudukan ketiga yang dicapai itu merupakan pencapaian terbaik mereka sejak musim 1992 hingga 1993.
Namun, skuad The Eagles gagal menampilkan sebarang konsistensi sejak permulaan musim ini dan hanya mencatatkan satu kemenangan dalam lima perlawanan terakhir mereka dalam semua kejohanan.
Barisan serangan Liverpool yang bergelut dengan prestasi dijangka mengambil kesempatan terhadap benteng Frankfurt yang telah melepaskan 18 gol dalam lima perlawanan tersebut.
Walaupun Liverpool kini melalui empat kekalahan berturut-turut dan berdepan masalah mereka sendiri, Frankfurt turut bergelut selepas sekali lagi kehilangan bintang utama.
Musim lalu, Ekitike merupakan tonggak utama jentera serangan Frankfurt, terutamanya selepas pemergian Omar Marmoush ke Manchester City pada jendela perpindahan musim sejuk.
Pemain Perancis itu turut berjaya menjaringkan sebanyak 22 gol dan melakukan 12 bantuan gol dalam 48 perlawanan semua kejohanan.
Namun, Frankfurt sudah biasa menjual pemain terbaik mereka bagi meraih keuntungan besar dalam beberapa tahun kebelakangan ini.
Ekitike menjadi bintang terbaru meninggalkan Frankfurt pada musim panas lalu apabila Liverpool membayar kira-kira AS$92 juta untuk mendapatkan khidmatnya.
Gabungan penjualan Ekitike, Marmoush, Randal Kolo Muani, Luka Jovic, Sebastian Haller dan Willian Pacho telah menjana sekitar AS$487 juta sejak tahun 2020.
Walaupun pasukan pencari bakat Frankfurt terus menunjukkan keupayaan mencari pemain berbakat, pemergian tonggak utama sering memaksa kelab itu melalui fasa pembinaan semula dan seperti kebanyakan pasukan muda dalam situasi sebegitu.
Frankfurt pula menunjukkan prestasi tidak menentu musim ini, di mana ada ketikanya cemerlang, namun adakalanya kelihatan kelam-kabut. – AFP
-- Courtesy of Media Permata