ISKANDAR PUTERI, 4 NOV – Johor Darul Ta’zim (JDT) bersedia menampilkan aksi berintensiti tinggi berdepan Shanghai Shenhua FC pada aksi peringkat kumpulan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) Elite (ACL Elite) 2025/26 di Stadium Sultan Ibrahim, esok.
Ketua Jurulatih JDT, Xisco Munoz berkata para pemain kini sudah bersedia untuk meningkatkan tempo permainan dan beraksi dengan lebih agresif bagi memburu kemenangan penting di gelanggang sendiri di hadapan penyokong mereka.
“Kami perlu meningkatkan intensiti dan bermain secara agresif dalam setiap perebutan bola. Kami akan cuba menjaringkan gol dan memastikan tiga mata menjadi milik kami,” katanya pada sidang media praperlawanan, hari ini.
Munoz berkata perlawanan di tempat lawan pada kejohanan itu sentiasa mencabar, justeru prestasi cemerlang di laman sendiri amat penting untuk memastikan kedudukan pasukan kekal kukuh.
“Saya rasa perlawanan terakhir kami di China sangat positif, baik dari segi prestasi mahupun keputusan. Kami hanya mahu mengekalkan momentum kemenangan itu serta mengekalkan intensiti yang sama,” tambahnya.
Sementara itu, Ketua Jurulatih Shanghai Shenhua FC, Leonid Slutskiy menjangkakan tentangan sengit daripada skuad Harimau Selatan, sambil memuji corak permainan tersendiri dan rekod cemerlang JDT di gelanggang sendiri.
Beliau menyifatkan JDT sebagai antara pasukan paling dinamik dan menghiburkan pada kejohanan itu, dengan keupayaan teknikal serta corak serangan yang berkesan.
“Apabila kami menentang pasukan Jepun atau Korea, kami tahu apa yang dijangka, tempo tinggi, disiplin, dan corak permainan yang hampir sama. – Bernama
-- Courtesy of Media Permata