Angelina Jolie cerita ancaman dron semasa melawat Ukraine
 Posted on : Nov 10, 2025, 9:33PM   3 total views  Category : Entertainment
Angelina Jolie kongsi pengalaman semasa lawatan ke Ukraine. – mStar

Bintang Hollywood, Angelina Jolie menggambarkan ancaman berterusan serangan dron yang dihadapi penduduk berhampiran garisan hadapan Ukraine, susulan lawatan mengejutnya ke negara itu awal minggu ini, lapor Agensi Berita Jerman (dpa).

“Awda akan dengar dengungan perlahan di langit. Ia kini dikenali secara tempatan sebagai ‘safari manusia’, dengan dron digunakan untuk menjejak, memburu dan menakutkan orang ramai secara berterusan,” tulisnya dalam satu hantaran di Instagram kelmarin.

“Terdapat satu ketika kami terpaksa berhenti dan menunggu sementara sebuah dron terbang di atas kepala,” katanya, disertai gambar sebuah klinik bawah tanah, kerja pembersihan runtuhan serta video dinding peringatan bagi mangsa perang.

Jolie menjelaskan bahawa beliau memakai pakaian pelindung dan hanya berada di sana selama beberapa hari, tetapi bagi penduduk tempatan, keadaan itu merupakan rutin harian mereka.

Media sebelum ini melaporkan mengenai lawatan Jolie ke Ukraine meskipun perang masih berterusan, di mana beliau dilihat bertemu kanak-kanak di sebuah tempat perlindungan bawah tanah. Dalam hantarannya kali ini, beliau menceritakan sendiri pengalaman berkenaan.

Menurut hantaran itu, pelakon berkenaan telah melawat wilayah Kherson dan Mykolaiv, dan beliau bertemu keluarga yang tinggal berhampiran garisan hadapan. Ramai antara mereka telah memindahkan sekolah dan hospital ke tempat perlindungan bawah tanah untuk keselamatan. “Ia sukar tetapi memberi inspirasi untuk disaksikan,” katanya.

Beliau turut menarik perhatian terhadap penderitaan rakyat di Sudan, Semenanjung Gaza dan wilayah konflik lain, sambil memuji keberanian petugas bantuan dan sukarelawan.

“Adalah sukar difahami bagaimana dalam dunia yang mempunyai keupayaan diplomasi begitu tinggi, orang awam di Ukraine, Sudan, Gaza, Yaman, Republik Demokratik Congo (DRC) dan banyak tempat lain masih menderita setiap hari. Seolah-olah tiada apa yang dapat dilakukan oleh mereka yang berkuasa untuk menamatkan konflik dan melindungi semua orang awam secara saksama,” tulisnya. – Bernama/dpa

-- Courtesy of Media Permata

HITS: