BANDAR SERI BEGAWAN, 11 NOV – Suruhanjaya Tinggi Australia di Negara Brunei Darussalam telah menyerahkan koleksi foto bersejarah daripada Kempen Ketenteraan Bersekutu 1945, Operasi Oboe, kepada Arkib Negara Brunei Darussalam (ANBD) pada Majlis Penyerahan Gambar sempena Hari Peringatan 2025 yang diadakan di Hab Tenaga Brunei Dermaga Diraja, hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat ialah Timbalan Setiausaha Tetap (Kebudayaan), Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), Dr Siti Norkhalbi binti Haji Wahsalfelah.
Penyerahan rasmi koleksi foto berkenaan disempurnakan oleh Pesuruhjaya Tinggi Australia ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Michael Hoy, kepada ANBD melalui Pemangku Pengarah Muzium, Pengiran Haji Rosli bin Pengiran Haji Halus.
TYT Michael Hoy menekankan bahawa koleksi berkenaan merakamkan detik penting dalam sejarah bersama antara Australia dan Brunei Darussalam.
Katanya lagi, foto-foto berkenaan memberi gambaran langsung tentang kesan mendalam peperangan dan Operasi Oboe terhadap rakyat tempatan serta anggota tentera Australia.
“Melalui penyerahan ini, Australia berbesar hati dapat menyumbang kepada usaha Brunei dalam memelihara dan memahami sejarahnya,” jelas beliau.
Beliau turut mengimbas kembali sejarah Operasi Oboe yang menyaksikan lebih 75,000 anggota tentera Australia mendarat di Borneo pada 1945 dan disokong oleh 250 kapal tentera laut dari Australia dan Amerika Syarikat (AS) serta pasukan khas dari Australia dan United Kingdom.
Lebih 30,000 anggota tentera Australia mendarat di Pantai Muara dan Labuan pada 10 Jun 1945 sebelum mara ke Bandar Brunei, Kuala Belait dan Limbang. Dalam masa tujuh hari, mereka berjaya menamatkan tiga tahun penjajahan perang bagi rakyat Brunei.
-- Courtesy of Media Permata