DPMM FC kalah tipis
 Posted on : Nov 24, 2025, 7:20AM   6 total views  Category : Sports
Gambar Envato

BANDAR SERI BEAGWAN, 23 NOV – DPMM FC mengalami kekalahan terbaharu dalam Liga Super Malaysia kepada Kuching City FC 1-0 dalam perlawanan yang sengit di Stadium Negeri, Kuching, Sarawak, Malaysia, kelmarin.

Muhammad Hakeme Yazid Said dari DPMM FC hampir membuka jaringan pada minit ke-13 selepas hantaran sempurna daripada Prosper Boakye Owusu, tetapi percubaannya melepasi palang.

Seminit kemudian, Wanja Ronald Ngah dari Kuching City FC menguji penjaga gol DPMM FC, Michel Americo Dos Santos dengan percubaan jarak dekat tetapi berjaya diselamatkan.

Walaupun terdapat beberapa peluang yang tersedia, Kuching City FC tidak dapat memanfaatkannya pada separuh masa.

Selepas rehat, Kuching City FC hampir mendahului apabila Muhammad Ramadhan Saifullah Usman melepaskan rembatan kencang yang memaksa Michel Americo Dos Santos menyelamatkan satu lagi percubaan. Pasukan tuan rumah terus menguasai perlawanan dan pada minit ke-69, Muhammad Ramadhan Saifullah Usman akhirnya memecah kebuntuan dengan jaringan cantik dari luar kotak penalti.

Percubaan jarak dekat pada masa kecederaan yang dilakukan oleh Prosper Boakye Owusu untuk memperoleh gol bagi menyamakan kedudukan bagi DPMM FC gagal apabila gol itu dibatalkan oleh pengadil selepas semakan VAR.

Perlawanan menjadi lebih teruk apabila pemain DPMM FC, Mohammad Fairuz Zakaria menerima kad merah kerana melakukan terjahan terhadap pemain Kuching City FC, Scott Philip Galang Woods, menyebabkan pasukannya hanya bermain dengan sepuluh orang untuk menamatkan perlawanan.

DPMM FC seterusnya akan bermain menentang Imigresen FC di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, Berakas.

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: