Unorthodox juara kejohanan badminton
 Posted on : Nov 27, 2025, 6:38AM   4 total views  Category : Sports
Haji Ismail bergambar ramai bersama pasukan yang menyertai kejohanan tersebut. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

Oleh Daniel Lim –

BELAIT, 26 NOV – Pasukan Unorthodox muncul juara selepas menang menentang Pasukan Cuba-Cuba dalam perlawanan akhir Kejohanan Badminton Persahabatan Campuran 2025, yang diadakan di Kompleks Sukan Mumong, baru-baru ini.

Sementara itu, Pasukan Badmintiri menduduki tempat ketiga selepas menewaskan Pasukan Dosai di tempat keempat.

Kejohanan yang dianjurkan oleh Biro Sukan dan Olahraga bersama Biro Kebajikan dan Komuniti di bawah Persatuan Belia Belait (PEMBELA), dengan kerjasama Jabatan Belia dan Sukan, Cawangan Belait, menyaksikan lapan pasukan dari seluruh negara, dengan setiap pasukan terdiri daripada dua belia berumur antara 15 hingga 40 tahun.

Pasukan-pasukan yang bertanding  termasuk Sailor, Dosai, Shuttle Blaze, Cuba-Cuba, Arim, Badmintiri, Newbie dan Unorthodox.

Pasukan-pasukan yang mengambil bahagian bertanding dalam format pusingan robin, dengan empat pasukan teratas mara ke separuh akhir untuk merebut gelaran juara.

Menurut pengurus am bersama kejohanan itu, Awang Mohd Faridzul Hazri bin Mohd Ibrahim menjelaskan objektif utama penganjuran acara tersebut adalah untuk menyediakan peluang kepada peserta belia yang merupakan peminat badminton atau pemain baharu yang ingin mengembangkan kemahiran mereka melalui persaingan antara pemain baharu dan kejohanan peringkat tempatan.

Penyampaian hadiah kepada para pemenang telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Penasihat Persatuan PEMBELA, Haji Ismail bin Kassim selaku tetamu khas pertandingan.

Juara menerima wang tunai $100 dan pakej hadiah sukan, manakala tempat kedua hingga keempat masing-masing menerima $80, $50 dan $30 berserta pakej hadiah sukan.

Hadiah sagu hati dalam bentuk baucar hadiah sukan bernilai $20 juga telah diberikan kepada semua pasukan yang mengambil bahagian.

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: