KUALA NERUS, 2 JAN – Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tengku Hazman Raja Hassan, mengakui tugas sukar bakal menantinya pada aksi Liga Super menentang Penang FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA), malam esok.
Pengendali berusia 48 tahun itu berkata pertemuan dengan skuad Harimau Kumbang itu menjadi ujian pertama untuk membuktikan keupayaan selepas mengambil alih tugas daripada bekas ketua jurulatih Badrul Afzan Razali, yang direhatkan susulan prestasi kurang memberangsangkan minggu lepas.
Menyedari harapan tinggi yang diletakkan penyokong, Tengku Hazman yang pernah menyarung jersi Terengganu pada 2010 bertekad memberikan yang terbaik bagi memastikan skuad Penyu mengutip tiga mata penuh di laman sendiri.
“Saya sedar penyokong meletakkan harapan tinggi dan berharap skuad Penyu dapat mencipta kemenangan selepas dimalukan Sabah FC 3-1 di gelanggang sendiri minggu lepas.
“Biar pun masih mentah dan tidak pernah mengemudi skuad Liga Super, saya berazam untuk melakukan sehabis baik dan memperbaiki reputasi TFC di persada Liga Super dalam pusingan kedua ini,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Selain itu, Tengku Hazman berkata setakat ini persiapan berjalan baik dan lebih berfokus kepada memperkemas dan memperbaiki kesilapan mudah yang sering dilakukan pemain pada perlawanan tempoh hari.
Beliau berkata TFC juga mungkin sedikit tempang apabila turun tanpa dua tonggak utama, iaitu Muhammad Azam Azmi Murad dan Raianderson De Costa atau Careca yang mengalami kecederaan ketika perlawanan lepas. – Bernama
-- Courtesy of Media Permata