BTS akan muncul dengan album baharu
 Posted on : Jan 3, 2026, 10:20PM   5 total views  Category : Entertainment
BTS akan mengeluarkan album baharu yang menampilkan kesemua tujuh ahli pada 20 Mac ini. – ANN/The Korean Herald

Bintang mega K-pop, BTS, akan mengeluarkan album baharu pada Mac ini menjelang jelajah dunia, umum kumpulan itu, kelmarin.

Kumpulan muzik terbesar Korea Selatan itu telah berehat sejak 2022 kerana ahlinya menjalankan perkhidmatan ketenteraan negara yang diwajibkan kepada semua lelaki di bawah umur 30 tahun.

Ketujuh-tujuh ahli telah menamatkan perkhidmatan ketenteraan tahun lalu dan kumpulan itu mengumumkan kemunculan semula untuk musim bunga 2026.

Mereka kelmarin mengesahkan bahawa mereka akan mengeluarkan album pada 20 Mac sebelum memulakan jelajah.

Tarikh tepat didedahkan dalam surat tulisan tangan yang dihantar kepada ahli berbayar kumpulan peminat rasmi BTS dan kemudiannya disahkan oleh label mereka Big Hit Music.

“Saya telah menunggu dengan penuh harapan daripada orang lain,” tulis ketua kumpulan, RM dalam surat itu.

Tiada butiran lanjut tentang album atau jelajah diberikan.

Album itu akan menjadi yang pertama BTS sejak antologi Proof yang menjadi rekod terlaris Korea Selatan pada tahun 2022.

Sebelum perkhidmatan tentera mereka, BTS menjana lebih daripada 5.5 trilion won (AS$3.8 bilion) di Korea Selatan setiap tahun, menurut Institut Kebudayaan dan Pelancongan Korea yang disokong kerajaan.

Jumlah itu bersamaan dengan kira-kira 0.2 peratus daripada jumlah keluaran dalam kasar negara itu.

BTS telah berkembang melangkaui negara asal mereka untuk menjadi fenomena muzik global dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Mereka memegang rekod sebagai kumpulan paling banyak distrim di Spotify, dan menjadi artis K-pop pertama yang menduduki tangga teratas carta Billboard 200 dan Billboard Artist 100 di Amerika Syarikat. – AFP

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: