BANDAR SERI BEGAWAN, 4 JAN – Sesi persekolahan penggal pertama bagi tahun akademik 2026 bagi semua sekolah rendah, menengah dan maktab serta pusat tingkatan enam kerajaan dan swasta di bawah kawalan Kementerian Pendidikan termasuk sekolah-sekolah ugama dan arab di bawah kawalan Kementerian Hal Ehwal Ugama telah bermula pada 3 Januari.
Sempena permulaan sesi persekolahan penggal pertama bagi tahun akademik 2026, Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Md Salleh berserta rombongan telah mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Mentiri, Sekolah Rendah Haji Mohamad Salleh Sungai Hanching dan Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali kelmarin.
Lawatan itu bertujuan untuk meninjau secara lebih dekat pelaksanaan aktiviti dan inisiatif sempena pembukaan penggal pertama Tahun 2026 dengan antara tumpuan utama lawatan ialah menyaksikan pelaksanaan orientasi, pengajaran dan pembelajaran serta beberapa inisiatif strategik yang sedang dilaksanakan seperti Integrasi Mata Pelajaran Ugama ke dalam Sistem Pendidikan Umum, Pendidikan dan Kemahiran STEAM (SES), dan Program Green Education Plan.
Semasa lawatan berkenaan, Yang Berhormat Datin dan rombongan berpeluang meninjau pelaksanaan aktiviti Kembali ke Sekolah, yang merangkumi penglibatan aktif pelajar-pelajar serta persiapan rapi para guru, seperti sesi senam aerobik, aktiviti suai kenal dan sesi pengenalan ringkas yang diadakan sempena hari pertama persekolahan.
Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah dan rombongan turut meninjau beberapa buah bilik darjah dan beberapa prasarana sekolah seperti Bilik Darjah Prasekolah, Bilik Sains, Bilik Perpustakaan dan Pusat Sumber serta mengambil peluang berinteraksi secara langsung dengan para guru dan pelajar termasuk pelajar-pelajar yang baharu memulakan persekolahan di peringkat prasekolah.
Pada tinjauan berkenaan, Yang Berhormat Datin menyampaikan kata-kata motivasi serta galakan supaya mereka terus bersemangat dalam menuntut ilmu dan memanfaatkan sepenuhnya kemudahan pembelajaran yang disediakan.
Semasa lawatan itu, Yang Berhormat Datin mengunjungi Nur Kasih (Model Inclusive School) di Sekolah Menengah Sultan Sharif Ali bagi meninjau kemudahan serta pelaksanaan pembelajaran inklusif yang disediakan untuk para pelajar.
Yang Berhormat Datin turut menyaksikan sesi orientasi pelajar-pelajar Tahun 7 yang diadakan di dewan sekolah berkenaan yang bertujuan membantu pelajar menyesuaikan diri dengan persekitaran dan budaya pembelajaran di peringkat sekolah menengah.
Turut menyertai rombongan Yang Berhormat Datin ialah ketua-ketua jabatan serta pegawai-pegawai Kementerian Pendidikan.
-- Courtesy of Media Permata