Suami kepada pelakon dan penyanyi Erra Fazira iaitu usahawan Ezwan Zain berkongsi impian besarnya untuk membina sebuah sekolah khas bagi pelajar keluarga miskin.
Menurut Ezwan, 45, tujuan dia terjun ke dunia perniagaan bukan semata-mata untuk mengejar kekayaan, sebaliknya demi merealisasikan matlamat peribadi yang lebih bermakna.
“Saya ada satu impian besar. Sebelum ini hanya impian saya tetapi sekarang ini sudah jadi impian bersama.
“Impian saya nak bina sebuah sekolah. Saya banyak kali dah cerita dengan awak (Erra). Disebabkan itu saya meniaga. Ramai orang ingat kita nak meniaga sebab nak kaya.
“Saya meniaga ada niat untuk sasaran sendiri. Itulah impian saya sebenarnya,” katanya.
Ezwan berkongsi perkara itu menerusi sesi temu bual program audio siar Kasi Onz yang dimuat naik di saluran YouTube.
Dalam pada itu, Ezwan memberitahu sekolah yang diimpikan itu adalah khusus untuk anak-anak daripada keluarga miskin tegar yang bukan sahaja berdepan kesukaran untuk mendapatkan pendidikan, malah turut bergelut untuk memenuhi keperluan asas seperti makanan.
Bagaimanapun, Ezwan mengakui tidak mahu terlalu banyak bercerita tentang niat tersebut kerana menganggap ia sebagai satu amanah dan keikhlasan.
“Saya nak bina sebuah sekolah khusus untuk anak-anak orang miskin tegar. Bukan sekadar tak boleh pergi belajar tetapi nak makan pun susah.
“Kalau nak bercerita sangat pun tak best kan sebab itu niat kita. Itu sebab saya cakap ia impian bersama.
“Impian saya, awak (isteri) dan team KUEH (perniagaan). Saya harap semua tolong doakan kita cuba usahakan,” ujarnya.
Sementara itu, Erra turut meluahkan sokongan dan doa agar impian suaminya itu dipermudahkan, lebih-lebih lagi rakaman audio siar tersebut disiarkan bersempena hari lahir Ezwan yang jatuh pada 2 Januari.
“Aamin saya doakan. Hari ini (Jumaat) pun hari jadi awak. Saya doakan semoga segala impian awak tercapai.
“Daripada niat nak bina sekolah, kerjaya, semoga awak dapat ketenangan awak peroleh peningkatan iman dan sebagainya,” katanya. – Agensi
-- Courtesy of Media Permata