Endrick harap sarung jersi skuad kebangsaan Brazil
 Posted on : Jan 7, 2026, 11:42PM   2 total views  Category : Sports
Aksi Endrick menyertai sesi latihan bersama Lyon di pusat latihan Groupama OL di Decines-Charpieu, tengah-timur Perancis pada 2 Januari. – AFP

DECINES-CHARPIEU, 6 JAN – Bintang muda Brazil, Endrick, kelmarin berkata bahawa dia berharap perpindahan secara pinjaman ke Lyon dapat membuka jalan untuk kembali menyarung jersi pasukan kebangsaan Brazil, tepat pada masanya menjelang Piala Dunia.

Pemain berusia 19 tahun itu hanya beraksi selama 99 minit bersama Real Madrid pada separuh pertama musim ini selepas gagal meyakinkan jurulatih baharu Los Blancos, Xabi Alonso, untuk memberikan kepercayaan seperti yang dilaluinya musim lalu di bawah Carlo Ancelotti.

Endrick tampil sebanyak 11 kali bersama Brazil pada 2024, ketika dia berhijrah ke Sepanyol dari Palmeiras di negara asalnya, namun hanya sekali beraksi dengan jersi kuning pada 2025.

“Sasaran saya adalah untuk membantu Lyon, bermain dan menang,” kata Endrick kepada pemberita menjelang penampilan sulungnya menentang Lille dalam Piala Perancis hujung minggu ini.

“Sebagai seorang rakyat Brazil, semua orang bermimpi untuk bermain bersama pasukan kebangsaan. “Saya tidak dipilih sejak kebelakangan ini, tetapi saya akan melakukan segala-galanya untuk kembali.”

Kehadiran Endrick mencetuskan keterujaan dalam kalangan penyokong Lyon yang sudah lama tidak disaksikan sejak ketibaan rakan senegaranya, Sonny Anderson, pada 1999, atau pemain tengah Perancis, Yoann Gourcuff, pada 2010.

“Dia memiliki bakat dan potensi yang sangat besar. Dia pantas, mampu melepaskan diri dari pertahanan lawan dan memanfaatkan peluang dengan jaringan golnya,” kata pengarah teknikal Lyon, Matthieu Louis-Jean. – AFP

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: