Tiket tiga konsert Baekhyun habis terjual
 Posted on : Jan 7, 2026, 11:44PM   2 total views  Category : Entertainment
Baekhyun berjaya menjual kesemua tiket konsert tiga malam di KSPO Dome. – Allkpop

Penyanyi Baekhyun memulakan tahun baharu dengan penuh gemilang apabila berjaya menjual kesemua tiket konsert tiga malam di KSPO Dome. Konsert yang bermula dari 2 hingga 4 Januari, bersama kira-kira 40,000 peminat daripada fandomnya, ERI, telah berkumpul di venue itu bagi meraikan kepulangannya ke pentas.

Menurut Allkpop, konsert di Seoul itu merupakan persembahan tambahan kepada jelajah solo dunia Baekhyun bertajuk Reverie yang bermula di Seoul pada Jun lalu dan merangkumi 28 bandar di Amerika Utara dan Selatan, Eropah, Oceania serta Asia.

Sepanjang tiga malam persembahan, Baekhyun menampilkan aksi pentas yang mencerminkan perkembangan dirinya sepanjang jelajah tersebut. Vokal yang lebih mantap dan matang, digandingkan dengan produksi pentas yang terperinci serta pengarahan yang teliti, menerima pujian meluas, dengan ramai menyifatkannya sebagai ‘konsert penentu kerjaya’.

Baekhyun turut mengejutkan peminat apabila mempersembahkan buat pertama kali lagu baharu yang belum dilancarkan, berjudul Magic On The Floor, sekali gus meningkatkan penantian terhadap album terbaharunya.

Sepanjang konsert, Baekhyun berulang kali meluahkan rasa cintanya terhadap ERI dengan berkata, “Masa yang saya luangkan menari, menyanyi dan berbual di hadapan ERI adalah saat paling membahagiakan bagi saya. Terima kasih kerana memenuhi venue sebesar ini dan sentiasa menyokong saya.”

Momentum daripada konsert ulangan di Seoul itu akan diteruskan ke Amerika Syarikat lewat bulan ini.

Baekhyun dijadual membawa persembahan bertenaganya ke Las Vegas pada 17 Januari di venue baharu, Dolby Live di Park MGM, sekali gus memperluaskan lagi pengaruh era Reverie. – Agensi

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: