BARCELONA, 29 JAN – Barcelona bangkit daripada ketinggalan untuk membelasah FC Copenhagen 4-1 dan layak terus ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara semalam, menamatkan fasa liga di tempat kelima.
Gol separuh masa kedua daripada Robert Lewandowski, Lamine Yamal dan Raphinha membantu skuad kendalian Hansi Flick menguasai perlawanan selepas remaja Viktor Dadason mengejutkan tuan rumah dengan jaringan awal buat wakil Denmark itu.
Pemain gantian, Marcus Rashford mengesahkan kemenangan Barca menerusi sepakan percuma lewat perlawanan yang melepasi penjaga gol Copenhagen, Dominik Kotarski.
Juara Eropah lima kali itu bergelut mencari rentak pada babak pertama, namun tampil lebih meyakinkan selepas rehat untuk menamatkan kempen fasa liga dalam kelompok lapan terbaik dengan selesa.
“Kami semua datang malam ini dengan sasaran menamatkan saingan dalam kelompok lapan teratas, jadi kami sangat gembira dengan kemenangan ini,” kata Yamal kepada Movistar.
“Apabila dibolosi dalam Liga Juara-Juara, sangat sukar untuk bangkit, tetapi pasukan menunjukkan semangat kental dan berjaya melakukannya.”
Flick mengakui tidak berpuas hati dengan permulaan pasukannya.
“Saya tidak gembira dengan babak pertama, tetapi akhirnya saya rasa semua orang, penyokong dan juga pemain, sangat gembira,” kata jurulatih dari Jerman itu.
Barcelona sedar mereka perlu menang untuk mengelak pusingan play-off, namun dikejutkan seawal minit keempat.
Hantaran longgar Jules Kounde dipintas sebelum Dadason meloloskan diri melepasi Pau Cubarsi dan melepaskan rembatan menewaskan penjaga gol Joan Garcia.
Barca hampir menyamakan kedudukan apabila Kotarski menyelamatkan percubaan Lewandowski dan kemudian menepis sepakan Eric Garcia, sebelum pertahanan itu sekali lagi hampir menjaringkan gol menerusi rembatan jarak jauh yang menggegarkan palang. – AFP
-- Courtesy of Media Permata