PARIS, 30 JAN – Juara bertahan Paris Saint-Germain (PSG) tidak kisah terpaksa melalui ‘laluan panjang’ menerusi pusingan play-off Liga Juara-Juara, kata jurulatih mereka Luis Enrique baru-baru ini, sambil menepis tanggapan bahawa kegagalan layak terus ke pusingan 16 terbaik sebagai satu kegagalan.
Pengendali dari Sepanyol itu berkata jadual perlawanan yang disifatkannya sebagai ‘malapetaka’ menentang beberapa pasukan terbaik Eropah sebenarnya telah menyediakan pasukannya dengan sempurna untuk berdepan pusingan play-off, selepas PSG menamatkan fasa liga dengan keputusan seri 1-1 menentang Newcastle United.
“Jika ada pasukan yang benar-benar bersedia untuk play-off dan sesiapa sahaja yang bakal kami temui, pasukan itu ialah kami.
“Apabila saya melihat pasukan-pasukan yang kami hadapi, ia memang satu malapetaka,” kata Luis Enrique selepas juara Eropah itu menamatkan fasa liga.
Kelab Liga Perdana Inggeris itu berada dalam kelompok undian terbawah, menyebabkan PSG bertemu Newcastle, bukannya pasukan yang lebih kecil seperti Pafos atau Kairat Almaty.
Hanya satu daripada lapan lawan PSG dalam fasa liga datang dari luar empat liga terbesar Eropah, iaitu kelab gergasi Portugal, Sporting.
“Kami perlu memperbaiki prestasi, saya terima hakikat itu,” tambah Luis Enrique, selepas PSG menamatkan fasa liga di tempat ke-11 dengan 14 mata iaitu 10 mata di belakang pendahulu, Arsenal.
Kelab gergasi Perancis itu, yang memenangi Liga Juara-Juara buat kali pertama dalam sejarah mereka musim lalu, memulakan kempen kali ini dengan tiga kemenangan berturut-turut.
Namun keputusan Rabu lalu itu menyaksikan mereka hanya menang sekali dalam lima perlawanan Eropah terakhir.
Ousmane Dembele terlebih dahulu menyaksikan sepakan penalti awalnya diselamatkan di Parc des Princes sebelum Vitinha meletakkan PSG di hadapan pada minit ketujuh.
Namun Joe Willock menyamakan kedudukan buat Newcastle pada masa kecederaan separuh masa pertama.
“Ia sukar kerana mereka pasukan yang sangat baik dan kuat dari segi fizikal dan kami sudah tahu sebelum perlawanan betapa mencabarnya aksi ini, tetapi saya rasa kami layak menang,” kata bekas jurulatih Barcelona itu, yang turut menyaksikan Khvicha Kvaratskhelia dikeluarkan awal akibat kecederaan buku lali.
“Kami tahu ada kemungkinan kami perlu melalui play-off. Kami perlu mengambil laluan panjang, tetapi saya tidak fikir ada pasukan lain yang boleh dianggap lebih pilihan utama berbanding kami,” tambahnya.
PSG juga melalui pusingan play-off musim lalu dalam perjalanan mereka menjulang trofi, membelasah seteru Perancis, Brest, 10-0 secara agregat sebelum menyingkirkan Liverpool, Aston Villa dan Arsenal, sebelum membenam Inter Milan 5-0 pada perlawanan akhir. – AFP
-- Courtesy of Media Permata