Tindakan spontan Biduanita Malaysia, Datuk Seri Siti Nurhaliza membelanja sekumpulan pelajar sekolah rendah makan di sebuah restoran mencuri perhatian di media sosial.
Dalam rakaman yang tular, Siti atau Siti Nurhaliza Tarudin, 47, pada awalnya hanya didatangi beberapa pelajar yang ingin mendapatkan tandatangannya.
Malah, ada dalam kalangan mereka sanggup mengoyakkan buku semata-mata untuk mendapatkan tandatangan penyanyi nombor satu Malaysia itu.
Tidak kurang juga ada pelajar yang menghubungi keluarga untuk memberitahu dia berpeluang bertemu dengan Siti.
Selepas selesai melayan permintaan pelajar-pelajar berkenaan, Siti kemudiannya bertanya sama ada mereka sudah menjamah makanan atau sebaliknya.
Namun, seorang pelajar memberitahu mereka belum makan kerana masih bersekolah dan tidak mempunyai wang.
Tanpa berfikir panjang, penyanyi lagu Menamakanmu Cinta itu terus mempelawa mereka untuk makan bersama dan menaja hidangan berkenaan.
Aksi spontan itu nyata menyentuh hati ramai apabila video berkenaan dihujani komen positif daripada warganet.
Tidak kurang juga yang berseloroh mengatakan penyanyi berkenaan bijak menarik peminat baharu.
“Alhamdulillah, rezeki anak-anak itu dapat makan Siti belanja; Untung pelajar-pelajar tu, bukan senang dapat momen macam ni; Pandai Siti rekrut ahli baharu Sitizoners; Panjang lagi legasi peminat Siti kalau begini,” antara komen warganet. – Agensi
-- Courtesy of Media Permata