BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Ketua Kampung Serasa bersama penduduk Kampung Serasa dan sekitarnya telah mengadakan kempen gotong-royong membersihkan Taman Riadah Bukit Tempayan Pisang, kelmarin.
Aktiviti tersebut bermula pada pukul 7:30 pagi dengan semangat kerjasama bertujuan untuk membersihkan persekitaran kawasan tersebut dan menyiangi laluan atau trek menuju ke puncak bukit agar lebih selesa dan bersih untuk aktiviti riadah penduduk setempat dan pelancong luar negara.
Hadir sama ialah Yang Dimuliakan Pehin Datu Pekerma Jaya Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Mohd Tawih bin Abdullah.
Semasa gotong-royong berlangsung, para peserta bukan sahaja menyiangi kawasan tersebut tetapi juga mengambil peluang untuk beriadah. Aktiviti ini dapat mengeratkan hubungan silaturahim antara penduduk kampung kerana mereka saling membantu dan bergotong-royong tanpa mengira usia.
Kempen seperti ini bukan sahaja meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan dan keindahan alam sekitar tetapi juga memberi peluang kepada penduduk untuk menjalani gaya hidup yang sihat melalui aktiviti riadah.
Inisiatif ini kerap kali diadakan dan akan diteruskan di masa akan datang demi kesejahteraan komuniti yang berminat untuk mendaki bukit sebagai aktiviti riadah dan inisiatif membersihkan dan menyiangi kawasan berkenaan untuk kelestarian alam sekitar.
-- Courtesy of Media Permata