TJFT anjur kejohanan bola sepak sempena sambutan Hari Keputeraan ke-79
 Posted on : Feb 3, 2026, 6:46AM   4 total views  Category : Sports
Sesi bergambar ramai semasa kejohanan tersebut. – GAMBAR SERHAHAN TJFT

BANDAR SERI BEGAWAN, 2 FEB – Sebanyak 11 pasukan telah menyertai kejohanan bola sepak veteran yang melibatkan 10 pasukan dari Brunei Darussalam serta satu pasukan jemputan dari Keningau, Sabah bagi peringkat umur 45 tahun ke atas anjuran Kelab Bola Sepak Tanah Jambu (TJFT) 2026 yang berlangsung di Padang Kompleks Sukan Sungai Asam, kelmarin.

Kejohanan yang bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir pada jam 2 petang itu diadakan bersempena sambutan Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-79.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis sekali gus penyampaian hadiah kepada para pemenang ialah Ketua Kampung Tanah Jambu dan Salar, Awang Mohammad Shamsulnizam bin Haji Abd. Latiff. 

Turut hadir semasa kejohanan tersebut ialah pengarah kejohanan, Awang Abdul Latip bin Haji Omar; dan pengerusi kejohanan, Awang Roslan bin Mansor.

Muncul sebagai juara kejohanan ialah Pasukan TJFT A selepas berjaya menewaskan Pasukan Diamond FT pada perlawanan akhir, sekali gus membawa pulang piala iringan, pingat serta wang tunai berjumlah $1,500.

Tempat kedua pula telah dimenangi oleh Pasukan Diamond FT yang menerima piala iringan, pingat dan wang tunai sebanyak $1,000, manakala tempat ketiga menjadi milik Pasukan Mumtaz Veteran dengan hadiah piala iringan, pingat dan wang tunai $500.

Manakala, anugerah pemain terbaik kejohanan dimenangi oleh Pengiran Mohd Faisal Effendy bin Pengiran Haji Abu Bakar daripada Pasukan TJFT A, manakala gelaran penjaring terbanyak diraih oleh Awang Mustapa bin Haji Saban daripada Pasukan Diamond FT.

Bagi kategori penjaga gol terbaik, anugerah diberikan kepada Awang Ahzaman bin Muhd daripada Pasukan Diamond FT yang membawa pulang piala serta sepasang sarung tangan penjaga gol.

Pasukan PSJD pula dinobatkan sebagai pasukan terbaik kejohanan dan menerima piala serta wang tunai.

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: