Semasa BTS bersiap sedia untuk mengeluarkan album baharu mereka yang dinanti-nantikan, Arirang pada 20 Mac, artis K-pop lain yang merancang kemunculan semula sekitar tempoh yang sama sedang menyesuaikan semula jadual mereka untuk menangani kesan tidak langsung hasil kepulangan kumpulan berkenaan.
Dalam Hybe, yang menempatkan agensi BTS, Big Hit Music, label gabungan bergerak selaras dengan kemunculan semula mereka. Daripada mengelakkan tempoh itu sama sekali, sesetengah kumpulan sedang menetapkan tempoh pengeluaran album mereka untuk mendapat manfaat daripada perhatian yang lebih tinggi terhadap K-pop secara keseluruhan.
Contohnya ialah Tomorrow X Together (TXT), yang mengesahkan baru-baru ini bahawa ia akan mengeluarkan album baharu pada April, kurang sebulan selepas kepulangan BTS.
Pengeluaran album tersebut akan menandakan keluaran Korea pertama bagi TXT dalam tempoh sembilan bulan, selepas album studio keempatnya, The Star Chapter: Together.
“Dari sudut pandangan Hybe, kemunculan semula BTS membuka peluang sinergi antara label-label subsidiarinya atau lebih tepat lagi, kesan limpahan,” kata pengkritik muzik Lim Hee-yun baru-baru ini. “Walaupun kumpulan di bawah naungan tidak mempromosikan karya pada masa yang sama, pelancaran album dalam tempoh yang hampir serentak serta pertindihan jelajah atau penggambaran kandungan secara semula jadi mengalihkan perhatian yang tertumpu kepada BTS kepada artis-artis junior.”
Lim menambah HYBE mempunyai insentif kukuh untuk memaksimumkan momentum melebihi BTS semata-mata. “Ketika ini tidak ada kumpulan lain yang berada pada tahap BTS, justeru HYBE perlu membangunkan barisan artis peringkat seterusnya. Kemunculan semula ini bukan sekadar mengenai BTS, sebaliknya berkaitan usaha memanfaatkan sepenuhnya nilai daripada detik berkenaan.”
Menurut sumber yang biasa dengan perancangan dalaman Hybe, masa kemunculan semula BTS dan TXT telah diselaraskan seawal separuh kedua tahun lepas.
“Rancangannya sentiasa untuk BTS dan TXT kembali dengan jurang satu atau dua minggu, sama ada sebelum atau selepas satu sama lain. Ideanya adalah untuk memastikan mereka berada dalam tempoh promosi sama, sambil mempertimbangkan peluang kerjasama,” tambahnya. – ANN/The Korean Herald
-- Courtesy of Media Permata