Hubungan Brunei-Jepun terus diperkukuh
 Posted on : Feb 11, 2026, 7:08AM   4 total views  Category : Local News
Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin dan tetamu istimewa bergambar ramai pada acara berkenaan. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

BANDAR SERI BEGAWAN, 10 FEB – Hubungan diplomatik antara Jepun dan Negara Brunei Darussalam terus diperkukuhkan melalui kerjasama dua hala yang merangkumi sektor tradisional serta penerokaan bidang baharu, meliputi aspek ekonomi, pendidikan, pertukaran rakyat ke rakyat dan pelancongan.

Perkara tersebut ditegaskan oleh Duta Besar Jepun ke Negara Brunei Darussalam, Tuan Yang Terutama Kikuta Yutaka, dalam ucapan beliau sempena Majlis Resepsi Sambutan Hari Keputeraan ke-66 Kebawah Duli Yang Maha Mulia Maharaja Jepun yang berlangsung di Hotel Antarabangsa Rizqun, di sini.

Menurut beliau, Jepun kekal komited menyokong pembangunan Brunei melalui kerjasama dalam sektor hiliran, pertanian, perhutanan, perikanan, teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta perkhidmatan.

Pada masa ini, sebanyak 21 buah syarikat Jepun beroperasi di Brunei sebagai rakan pembangunan ekonomi, termasuk dalam penghasilan metanol berasaskan gas asli serta aplikasi bioteknologi dalam sektor makanan dan kesihatan.

Beliau turut menekankan bahawa hubungan erat kedua-dua negara terus diperkukuhkan melalui pertukaran rakyat ke rakyat, termasuk program pertukaran belia dan akademik antara institusi pengajian tinggi Jepun seperti Universiti Kagawa dan Universiti Osaka dengan institusi pengajian tinggi di Negara Brunei Darussalam yang menunjukkan perkembangan positif.

Menyentuh hubungan jangka panjang, beliau berkata kerjasama tradisional antara Jepun dan Brunei dalam sektor minyak dan gas, khususnya gas asli cecair (LNG), telah terjalin selama lebih setengah abad dan kekal menjadi tunjang utama hubungan ekonomi dua hala, seiring usaha Brunei ke arah kepelbagaian ekonomi.

Majlis resepsi tersebut telah dihoskan oleh TYT Kikuta Yutaka, dan dihadiri oleh Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Ahmaddin bin Haji Abdul Rahman selaku tetamu kehormat.

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: