Warga Kg Rimba hadiri sesi pemberigaan perkhidmatan kutip sampah
 Posted on : Feb 16, 2026, 12:15AM   2 total views  Category : Local News
Hajah Martinah yang hadir pada sesi pemberigaan berkenaan.

Oleh Sim Y. H.

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 FEB – Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi (JASTRe), Kementerian Pembangunan telah mengadakan sesi pemberigaan mengenai Program Perkhidmatan Kutipan Sampah Rumah ke Rumah bersama penduduk Perumahan Negara Kampong Rimba yang berlangsung di Dewan Serbaguna Sekolah Menengah Rimba II, baru-baru ini.

Turut hadir pada sesi berkenaan ialah wakil-wakil ketua kampung, ahli majlis perundingan kampung serta syarikat-syarikat perkhidmatan kutipan sampah.

Sesi pemberigaan berkenaan dirasmikan oleh Pengarah Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi, Kementerian Pembangunan, Hajah Martinah binti Haji Tamit.

Majlis diikuti dengan penerangan mengenai program serta sesi soal jawab bagi memberi peluang kepada masyarakat untuk mengemukakan pandangan dan maklum balas.

Program itu memperkenalkan kaedah yang lebih menyeluruh dan berstruktur dalam perkhidmatan kutipan sampah di kawasan Perumahan Negara Kampong Rimba melalui pakej langganan yang komprehensif, yang mana menyediakan perkhidmatan yang lebih cekap serta memupuk amalan kitar semula dalam kalangan penduduk.

Perkhidmatan kutipan sampah di bawah program berkenaan akan dilaksanakan oleh syarikat-syarikat kutipan sampah yang berlesen serta dipilih dan didaftarkan di bawah Jabatan.

Melalui pelaksanaan program itu, pihak jabatan menyeru kepada penduduk untuk memainkan peranan secara aktif dalam menyokong sistem pengurusan sisa yang lebih teratur.

Kerjasama dan sokongan padu daripada komuniti adalah penting bagi memastikan kelestarian jangka panjang inisiatif itu serta memperkukuhkan tanggungjawab bersama dalam memelihara kebersihan alam sekitar negara.

Orang ramai yang ingin untuk mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi Jabatan Alam Sekitar, Taman dan Rekreasi di talian 2241262, melalui e-mel ke jastre.brunei@env.gov.bn atau melayari laman sesawang, www.env.gov.bn selain mengikuti Instagram rasmi @jastre.bn.

-- Courtesy of Media Permata

HITS: