BANDAR SERI BEGAWAN, 18 FEB – Empat syarikat telah menerima sijil penyertaan dalam Program Peningkatan Produk Penyedia Perkhidmatan Pelancongan 2025: Kumpulan Tumpuan bagi Pelaksanaan, Penilaian dan Pemantauan di majlis penyampaian sijil yang berlangsung di Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP), baru-baru ini.
Majlis anjuran Jabatan Kemajuan Pelancongan, KSSUP itu telah dihadiri oleh Setiausaha Tetap, KSSUP, Hajah Tutiaty binti Haji Abdul Wahab sebagai tetamu kehormat.
Semasa majlis berkenaan, sijil penyertaan disampaikan oleh tetamu kehormat kepada peserta program iaitu Eco Ponies Garden, IAM Food Enterprise, Gregano Enterprise dan Mori Enterprise.
Program 2025 itu, menggunakan pendekatan kumpulan tumpuan yang melibatkan peserta-peserta program terdahulu dari kohort 2023 dan 2024, yang menekankan kepada pembangunan pakej dan menghalusi produk, ujian ketersediaan pasaran dan pengesahan pasaran awal.
Program itu bertujuan untuk menyokong Penyedia Perkhidmatan Pelancongan (TSP) yang mengambil bahagian dengan membimbing dan menilai produk dan perkhidmatan pelancongan mereka, meningkatkan pengalaman pengunjung dan penyampaian produk secara keseluruhan serta memperkukuh daya saing produk, kesediaan pasaran dan imej jenama.
Majlis itu juga mengetengahkan komitmen berterusan kerajaan bagi memperkukuh kualiti perkhidmatan dan pengalaman pelawat melalui program pembinaan kapasiti, di samping menyokong Penyedia Perkhidmatan
Pelancongan dalam meningkatkan kesediaan dan daya saing produk mereka.
Inisiatif-inisiatif berkenaan memperkukuh kualiti, kemampanan dan penawaran yang dipacu oleh pengalaman, meletakkan Negara Brunei Darussalam untuk kekal berdaya saing di samping jangkaan pelawat.
-- Courtesy of Media Permata