LOS ANGELES, 18 FEB – Tiger Woods berkata, beliau tidak mengetahui tarikh pasti untuk kembali beraksi dalam golf, namun juara 15 kali kejohanan utama itu tidak menolak peluang untuk menyertai Masters Tournament 2026 walaupun sedang mempertimbangkan untuk mengikuti Jelajah Champions Over-50.
Woods, yang menyambut ulang tahun ke-50 pada 30 Disember lalu, telah menjalani pembedahan penggantian tulang belakang pada Oktober, iaitu yang terkini daripada siri pembedahan dan kecederaan yang menghalangnya daripada beraksi sejak Kejohanan Terbuka British.
“Setiap hari saya terus berusaha, membuat kemajuan,” kata Woods kelmarin di The Riviera Country Club, tempat beliau menjadi hos Jelajah PGA Genesis Invitational minggu ini.
Walaupun masa depannya dalam sukan golf masih tidak menentu, Woods berkata, Masters pada 9 hingga 12 April di Augusta National Golf Club masih boleh dipertimbangkan.
Woods pernah memenangi lima gelaran Masters, yang terkini ialah kemenangan epik pada 2019, menamatkan kekeringan gelaran utama selama 11 tahun.
Beliau mengalami kecederaan kaki teruk dalam kemalangan kereta pada 2021, tetapi kembali beraksi di Masters 2022 dan menduduki tempat ke-47.
Bintang veteran itu turut pernah menjalani pembedahan bahagian belakang pada September 2024 dan sedang dalam pemulihan apabila mengumumkan pada Mac 2025, beliau mengalami tendon Achilles yang koyak.
Woods berkata, kecederaan Achilles itu sudah tidak menjadi masalah, tetapi pembedahan penggantian tulang belakang di samping beberapa pembedahan bahagian belakang sebelum ini masih menjadi cabaran untuk kembali beraksi.
Meskipun sedang bersiap sedia untuk kembali bertanding, Woods berkata, beliau masih perlu meluangkan masa sebagai Jawatankuasa Persaingan Masa Depan bagi Jelajah PGA yang telah ditubuhkan untuk membantu bagi membentuk hala tuju baharu untuk kejohanan itu. – AFP
-- Courtesy of Media Permata