Sampai masa, saya juga akan bersara – Siti Nurhaliza
 Posted on : Feb 19, 2026, 10:30AM   5 total views  Category : Entertainment
Siti Nurhaliza belum tetapkan bila akan bersara. – Utusan Malaysia

“Saya tidak tahu sampai bila saya dapat terus menyanyi.”

Demikian kenyataan Biduanita Negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza mengenai hala tuju karier nyanyiannya.

Penyanyi tersohor tanah air itu mengakui sampai masanya, beliau juga bakal mengucapkan selamat tinggal kepada dunia nyanyian, menurut laporan Utusan Malaysia.

“Sampai masa, saya juga akan bersara daripada dunia nyanyian. Cuma saya belum dapat tetapkan bila,” katanya.

Siti bagaimanapun berharap beliau dapat terus berbakti kepada dunia seni tanah air meskipun satu masa nanti terpaksa meninggalkan dunia seni suara.

“Kalau boleh saya mahu terus memberikan sumbangan kepada dunia seni tanah air. Kalaupun saya tidak menyanyi lagi, sekurang-kurangnya ada pelapis yang meneruskan perjuangan saya.

“Sebab itu saya tubuhkan SN Legacy, supaya selepas ini saya uruskan pula karier artis lain, beri sokongan dan lahirkan album untuk mereka,” katanya lagi.

Sebagai anak seni, Siti Nurhaliza tidak terkecuali menerima kritikan. Penyanyi berusia 47 tahun ini akur bahawa setiap individu ada pandangan masing-masing, oleh itu beliau tidak mampu puaskan hati semua orang.

“Apa pun, saya terbuka menerima pandangan. Pembabitan dalam dunia seni selama 30 tahun mematangkan saya dalam menilai pandangan orang lain,” jelasnya.

Disoal tentang teguran ilmuan agama mengenai penganjuran konsert beliau baru-baru ini, Siti mengambil pendekatan untuk tidak mengulas terlalu panjang mengenai perkara itu.

“Isu berkaitan agama ini agak sensitif, saya pun tidak mahu mengulas mengenainya.

“Apa yang boleh saya katakan, kita semua ada tujuan hidup. Saya ini insan yang lemah, tidak sempurna tetapi tetap ada tanggungjawab. Saya berada dalam industri seni juga atas keizinan Allah S.W.T

“Apa pun saya berdoa agar diberikan pengakhiran hidup husnul khatimah. Itu sahaja yang saya harapkan. Selainnya saya reda dan berserah,” kongsinya. – Agensi

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: