Segar daripada kejayaan di Anugerah Grammy dan persembahan separuh masa Super Bowl yang gemilang, bintang mega Puerto Rico, Bad Bunny, bakal memegang watak utama dalam sebuah filem bertaraf bintang, umum penerbit, baru-baru ini.
Filem berjudul Porto Rico itu akan diarahkan oleh penyanyi rap pemenang Grammy, Rene Perez Joglar, dan digambarkan sebagai gabungan filem koboi Caribbean dan drama sejarah mengenai pulau yang menjadi tanah air kedua-dua figura berkenaan.
Turut membintangi filem itu ialah Viggo Mortensen, Javier Bardem dan Edward Norton, manakala penerbitnya ialah pemenang Anugerah Akademi, Alejandro Gonzalez Inarritu.
Porto Rico mengisahkan Jose Maldonado Roman, dikenali sebagai Aguila Blanca iaitu Helang Putih, seorang revolusioner yang menentang penjajahan pada penghujung abad ke-19.
“Saya telah bermimpi untuk menghasilkan filem mengenai negara saya sejak kecil,” kata Perez Joglar.
“Sejarah sebenar Puerto Rico sentiasa dilingkari kontroversi.
“Filem ini adalah penegasan semula tentang siapa diri kami, diceritakan dengan intensiti dan kejujuran yang wajar bagi sejarah kami.”
Menurut kenyataan, filem itu menggabungkan “skop sejarah dengan pendekatan puitis yang beremosi serta naratif mencengkam yang diinspirasikan daripada peristiwa sebenar.”
Rapper dan pengasas kumpulan Calle 13 itu turut memuat naik himpunan foto bersejarah serta mengucapkan terima kasih kepada pasukan produksi yang mengiringinya dalam projek yang akan berpusat kepada Bad Bunny.
Pada awal Februari, beliau memenangi tiga Anugerah Grammy menerusi album DeBI Tirar Mas Fotos, yang dinobatkan sebagai Album Terbaik Tahunan, menyaksikan kali pertama anugerah itu diberikan kepada karya sepenuhnya dalam bahasa Sepanyol.
Seminggu kemudian, beliau menjayakan persembahan separuh masa Super Bowl, persembahan muzik paling banyak ditonton di dunia dengan lebih 120 juta penonton, yang meraikan rentak, warna, cita rasa dan tradisi Puerto Rico. – AFP
-- Courtesy of Media Permata