Malaysia sapu bersih empat acara kejohanan boling
 Posted on : Feb 20, 2026, 7:25PM   3 total views  Category : Sports
Pasukan Malaysia semasa Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara di Stadium Juara Bukit Kiara, Kuala Lumpur, Malaysia pada 18 Februari. – Bernama

KUALA LUMPUR, 19 FEB – Malaysia muncul juara keseluruhan Kejohanan Boling Padang Jemputan 7 Negara 2026 selepas mengungguli kesemua empat acara pada hari terakhir saingan di Stadium Juara Bukit Kiara, kelmarin.

Dalam kejohanan yang dijalankan mengikut format rasmi temasya Sukan Komanwel Glasgow 2026 itu, skuad kebangsaan bimbingan ketua jurulatih, Fairul Izwan Abd Muin membuktikan penguasaan masing-masing dalam acara singles lelaki dan wanita serta pairs lelaki dan wanita.

Gandingan Malaysia C, Nur Syafira Mohamad Rezuan-Nurul Balqis Anisha Bakar membuka tirai kejayaan Malaysia selepas menewaskan pasangan Hong Kong, Cheryl Chan-Helen Cheung 2-1 dalam final pairs wanita.

Kejayaan kem seterusnya hadir menerusi kemenangan wakil Malaysia B, Nor Farah Ain Abdullah yang menjuarai singles wanita selepas mengatasi Nayanmoni Saikia dari India 2-1.

Gandingan pairs lelaki Malaysia B, Muhammad Naufal Azmi-Fadley Jabal menambah keceriaan kem Malaysia selepas menundukkan Alex Brennan-Trystan Smallacombe dari Wilayah Utara Australia 2-1 sebelum wakil singles lelaki Malaysia A, Izzat Shameer Dzulkeple melengkapkan kejayaan apabila mengatasi Shannon Mcilroy dari New Zealand Silver 2-1 dalam final lelaki singles.

Berdasarkan kutipan mata, Malaysia B dinobatkan juara keseluruhan selepas mengumpul sebanyak 25 mata, diikuti Malaysia A kedua, berkongsi 24 mata dengan New Zealand Silver di kedudukan ketiga.

Fairul Izwan berkata, kejohanan itu menjadi titik permulaan penting dalam persediaan menghadapi Sukan Komanwel 2026, sambil mengakui masih terdapat beberapa aspek perlu diperhalusi dan dipertingkatkan. – Bernama

-- Courtesy of Media Permata

HITS: