MANCHESTER, 22 FEB – Pep Guardiola melabelkan kemenangan 2-1 Manchester City ke atas Newcastle kelmarin sebagai satu detik ‘besar’ dalam perebutan juara Liga Perdana.
Skuad di tempat kedua Guardiola merapatkan jurang dengan pendahulu Arsenal kepada hanya dua mata dengan kemenangan tegang mereka di Stadium Etihad.
Nico O’Reilly meletakkan City di hadapan pada separuh masa pertama dan mengembalikan pendahuluan sebelum separuh masa selepas Lewis Hall menyamakan kedudukan.
City tidak berada pada tahap terbaik mereka pada separuh masa kedua, tetapi mereka berjaya mengekalkan tekanan ke atas Arsenal yang sedang bergelut, yang akan bertandang ke Tottenham untuk perlawanan derby utara London malam nanti.
“(Ia satu kemenangan) Besar. Newcastle adalah pasukan yang luar biasa, hebat dari segi fizikal dan kepantasan yang mereka miliki di bahagian hadapan. Fizikal di bahagian tengah. Sangat sukar tetapi pasukan ini luar biasa,” katanya.
Selepas menamatkan musim tanpa trofi pada musim lalu, City kembali memburu gelaran Inggeris ketujuh di bawah kendalian Guardiola.
Mereka akan mempunyai kelebihan satu perlawanan berbanding Arsenal selepas hujung minggu ini dan dijamin akan bergelar juara jika menang semua 11 perlawanan terakhir dalam liga.
Guardiola telah memulakan rombakan skuad City yang mahal dalam tempoh 12 bulan terakhir, menyingkirkan bintang-bintang yang semakin tua seperti Kevin De Bruyne, Ederson dan Kyle Walker dan membawa masuk pemain-pemain seperti Marc Guehi, Antoine Semenyo dan Rayan Cherki.
Jurulatih dari Sepanyol itu sedar bahawa generasi baharunya kurang pengalaman dalam rebut gelaran, yang menjadikan kejayaan mereka menentang Newcastle lebih bermakna.
“70 peratus pemain tidak pernah berada dalam situasi itu. Jadi kami perlu mengharunginya, mereka tahu bahawa setiap perlawanan akan menjadi seperti ini,” katanya. “Terutamanya dengan baki lima perlawanan di tempat sendiri. Hari ini merupakan penonton terbaik tahun ini, ia luar biasa dengan pasukan, saya sangat bangga jadi pengurus dan ada peminat yang luar biasa ini.
“Sudah tentu dari segi mata, ia penting, tetapi kami perlu meningkatkan prestasi untuk bersaing sehingga akhir. Kini kami berhak mendapat tiga hari lagi untuk berehat. Kemudian, satu lagi pertempuran di Leeds,” tambahnya. – Agensi
-- Courtesy of Media Permata