BELAIT, 22 FEB – Sebanyak 24 vendor diketuai oleh ahli-ahli Persatuan Pertiwi, serta perniagaan dan usahawan tempatan, berkumpul di dewan Jabatan Daerah Belait sempena Jualan Amal Ramadan yang diadakan setiap tahun bermula hari ini.
Hadir selaku tetamu kehormat pada majlis perasmian Jualan Amal Ramadan itu ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad dan dialu-alukan oleh pengerusi persatuan tersebut, Dayang Fatimah binti Tanji.
Turut hadir, Ahli Majlis Mesyuarat Negara dan Ketua Kampung Bukit Sawat, Yang Berhormat Awang Mohammad bin Abdullah @ Lim Swee Ann, penghulu mukim dan ketua kampung dari seluruh Mukim Seria, serta ahli-ahli persatuan.
Dalam ucapan perasmiannya, Dayang Fatimah menjelaskan inisiatif yang pertama kali dilaksanakan pada tahun 1986 itu adalah sebagai sebahagian daripada usaha persatuan untuk memberi kembali kepada masyarakat dalam menyediakan platform bagi usahawan dan perniagaan tempatan berkembang maju, di samping memberi peluang kepada penduduk untuk mencari kuih-muih dan makanan buatan sendiri menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri yang akan datang.
Di samping itu, Haji Amirol Hafidzin, turut memuji inisiatif tahunan persatuan itu, yang telah berjalan lancar sejak tahun 1986, bertujuan untuk mempromosikan perniagaan tempatan dan mengumpul dana bagi anak-anak yatim di daerah tersebut.
Selepas majlis pemotongan reben bagi menandakan pembukaan Jualan Amal Ramadan, para tetamu berkesempatan melawat gerai yang disediakan di sekitar premis, yang menjual makanan dan produk masakan sendiri dari rumah.
Sama seperti Jualan Amal Ramadan yang diadakan pada tahun-tahun sebelumnya, sebanyak 10 peratus daripada keuntungan akan disumbangkan kepada Tabung Anak Yatim Daerah Belait. Gerai jualan tersebut akan dibuka setiap hari dari 10 pagi hingga 10 malam sehingga akhir bulan puasa, kecuali hari Jumaat, akan ditutup pada jam 12 tengah hari hingga 2 petang.
-- Courtesy of Media Permata