VERONA, 23 FEB – Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan-Cortina ditutup secara rasmi oleh Presiden Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC), Kirsty Coventry, kelmarin, lapor agensi berita Jerman, dpa.
Coventry membuat pengumuman rasmi itu pada majlis penutupan yang berlangsung di Arena di Verona yang bersejarah, yang turut mengetengahkan budaya Itali serta penyerahan penganjuran temasya salji dan ais seterusnya kepada Alps Perancis sebagai tuan rumah pada 2030.
“Mereka menjadikan temasya ini benar-benar ajaib,” kata Coventry sambil mengucapkan terima kasih kepada negara tuan rumah, atlet, sukarelawan dan penganjur dalam ucapannya.
“Mereka juga telah menunjukkan kepada kami bagaimana kecemerlangan, rasa hormat dan persahabatan dizahirkan dalam dunia yang kadangkala melupakan nilai-nilai ini.
Mereka menunjukkan kepada kami, Sukan Olimpik adalah tempat untuk semua. Tempat di mana sukan menyatukan kita,” katanya.
Milan-Cortina menjadi edisi pertama yang menampilkan dua tuan rumah, manakala Alps Perancis 2030 melangkah lebih jauh tanpa menamakan bandar tuan rumah dengan pertandingan berlangsung di wilayah Provence-Alpes-Cote d’Azur dan Auvergne-Rhone-Alpes.
Perancis mempersembahkan keindahan wilayah serta sukan musim sejuknya menerusi sebuah video pendek. – Bernama
-- Courtesy of Media Permata