Bodo/Glimt mara ke pusingan 16 terakhir Liga Juara-Juara
 Posted on : Feb 26, 2026, 7:15AM   0 total views  Category : Sports
Aksi Jens Hauge (kiri) dan Manuel Akanji semasa perlawanan pusingan play-off Liga Juara-juara UEFA di Stadio San Siro, Milan, utara Itali pada 24 Februari. – AFP

PARIS, 25 FEB – Bodo/Glimt dari Norway mencipta salah satu kejutan paling hebat dalam sejarah moden Liga Juara-Juara UEFA kelmarin, selepas berjaya menewaskan naib juara musim lalu Inter Milan 2-1 di San Siro untuk mara ke pusingan 16 terakhir dengan agregat 5-2, manakala Newcastle United,

Atletico Madrid dan Bayer Leverkusen turut melangkah ke pusingan seterusnya.

Bodo/Glimt, pasukan dari utara Lingkaran Artik, tiba dengan misi untuk mengekalkan kemenangan mengejut 3-1 minggu lalu di Norway semasa perlawanan pertama pusingan playoff.

Inter, juara Eropah tiga kali dan kini 10 mata di hadapan dalam Serie A, dijangka akan menundukkan lawan mereka untuk terus mengukuhkan kedudukan.

Bodo/Glimt juga berjaya bertahan dengan cemerlang sebelum menamatkan perlawanan pada separuh masa kedua.

Jens Petter Hauge, bekas pemain AC Milan 2020/21, memberikan gol pendahuluan kepada pasukannya tepat sebelum minit ke-60 selepas kesilapan Manuel Akanji membolehkan Ole Blomberg menjaringkan percubaan awal yang diselamatkan.

Manakala, Hakon Evjen menambah gol kedua pada malam itu sekali gus menjadikan agregat 5-1, meninggalkan Inter dengan tugas terlalu sukar walaupun Alessandro Bastoni berjaya menjaringkan gol balas.

Bodo/Glimt, yang telah memenangi empat kejuaraan Norwegian Eliteserien dalam lima tahun sebelum menjadi naib juara musim lalu kepada Viking Stavanger, menjadi pasukan Norway pertama mara sejauh ini dalam saingan kelab elit Eropah sejak Rosenborg mencapai suku akhir pada 1997.

Kejayaan tersebut lebih menakjubkan kerana pasukan Kjetil Knutsen kini sedang berada dalam musim rehat, dengan liga Norway tamat pada akhir November dan kempen baharu bermula pertengahan Mac.

Bagi Inter, tersingkir pada tahap ini adalah sebuah tamparan hebat selepas mereka berjaya sampai ke final pada musim lalu, namun tewas 5-0 kepada Paris Saint-Germain. – AFP

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: