Tular satu video memaparkan pelakon Zahiril Adzim kononnya menjalani rawatan mengecilkan hidung di sebuah klinik kecantikan sehingga mengundang perhatian ramai.
Tampil menjawab mengenai perkara itu, Zahiril atau nama sebenarnya Muhammad Zahiril Adzim Mohd Mokhtar, 42, menjelaskan dia sedia maklum rakaman tersebut akan dimuat naik klinik tersebut selain tiada apa yang ingin disembunyikan daripada pengetahuan umum.
“Saya belum tengok video itu dan masih belum baca komen. Tapi saya tahu mereka akan muat naik dan saya tiada nak rahsiakan apa-apa.
“Hidung saya masih besar dan saya bukan buat rawatan kecilkan hidung,” katanya kepada mStar.
Zahiril berkongsi perkara itu ketika ditemui pada acara tayangan dan sidang media filem Amira Amir yang berlangsung di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini.
Menurut Zahiril, rawatan yang dilakukan bukanlah untuk mengecilkan atau memancungkan hidung, sebaliknya hanya bertujuan melemahkan otot hidung agar tidak terus mengembang seiring pertambahan usia.
“Hanya untuk lemahkan otot di bahagian hidung sebab bila makin menua makin kembang. Jadi saya lakukan supaya ia tidak membesar, itu saja,” jelasnya.
Tambahnya, dia tidak berniat untuk mengubah bentuk hidung menjadi mancung seperti pelakon Korea Selatan.
“Saya tiada niat nak kecilkan macam hidung Korea. Jangan risau, saya tak akan kecilkan hidung saya.
“Saya dah 14 tahun dalam industri seni. Kalau saya nak buat, mungkin tahun kelapan atau ke-10 saya sudah buat.
“Ini sudah 14 tahun, tak payahlah. Orang akan cepat perasan nanti,” ujarnya.
Tambah Zahiril, rawatan itu bukan kerana kurang keyakinan diri, sebaliknya sekadar ingin mencuba dan merupakan pengalaman kali pertamanya. – Agensi
-- Courtesy of Media Permata