Berkenan berangkat ke majlis khatam Yayasan
 Posted on : Mar 4, 2026, 7:32AM   1 total views  Category : Local News
DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik semasa berkenan menunaikan sembahyang Fardu Maghrib berjemaah. – GAMBAR OLEH RAFI ROSLI

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 MAC – Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) petang tadi mengadakan Majlis Khatam Al-Quran sempena bulan Ramadan di Dewan An-Naura, Yayasan, di ibu negara.

Berangkat ke majlis berkenaan ialah Duli Yang Teramat Mulia Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik, Pengerusi Jemaah Tadbir Yayasan.

Atur cara majlis dimulakan dengan bacaan takhtim Al-Quran yang dipimpin oleh Pegawai Yayasan, Awang Ahmad Rithaudin bin Haji Sabtu.

Seramai 30 pegawai dan kakitangan Yayasan telah mengkhatamkan bacaan Al-Quran masing-masing pada majlis tersebut.

Majlis diteruskan dengan bacaan Doa Khatam dan Doa Selamat oleh Yang Dimuliakan Begawan Pehin Khatib Dato Paduka Haji Mustapa bin Haji Murat, sebelum diteruskan dengan majlis berbuka puasa dan sembahyang fardu Maghrib berjemaah.

Menjunjung keberangkatan Duli Yang Teramat Mulia ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Awang Haji Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Awang Haji Othman selaku Ahli Jemaah Tadbir Yayasan; Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Kedua, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd Yussof selaku Pengerusi Lembaga Pengarah Yayasan; serta Ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan, Dato Seri Paduka Haji Sufian bin Haji Sabtu dan Awang Ahmad Jefri bin Abdul Rahman serta Setiausaha Tetap di Kementerian Pembangunan selaku Pemangku Pengarah Urusan Yayasan, Dr Nor Imtihan binti Haji Abdul Razak.

Turut hadir ialah ahli-ahli Lembaga Pengarah Yayasan; ahli-ahli Lembaga Pemegang Amanah Dana Pengiran Muda Mahkota Al-Muhtadee Billah Untuk Anak-Anak Yatim; para jemputan, pegawai-pegawai dan kakitangan Yayasan serta guru-guru Sekolah Yayasan.

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: