Getafe kejutkan Real Madrid
 Posted on : Mar 4, 2026, 7:34AM   3 total views  Category : Sports
Aksi Martin Satriano menjaringkan gol pembukaan ketika perlawanan liga Sepanyol antara Real Madrid dan Getafe di Stadium Santiago Bernabeu, Madrid pada 2 Mac. – AFP

MADRID, 3 MAC – Real Madrid mengalami kekalahan 1-0 yang menjejaskan kempen mereka selepas tewas di laman sendiri kepada Getafe dalam aksi La Liga semalam, sekali gus ketinggalan empat mata di belakang pendahulu, FC Barcelona.

Pasukan kendalian Alvaro Arbeloa, yang dibolosi menerusi voli cantik oleh Martin Satriano, mencatat kekalahan liga kedua berturut-turut buat kali pertama sejak 2020.

Penyerang Madrid, Franco Mastantuono, dilayangkan kad merah pada masa kecederaan kerana membantah keputusan pengadil, sekali gus memburukkan lagi malam suram buat Los Blancos.

“Jelas sekali ini perlawanan di mana kami boleh melakukan lebih baik, tetapi saya fikir pemain saya telah mencuba dan kami mempunyai lebih banyak peluang jelas berbanding mereka,” kata Arbeloa kepada pemberita.

“Namun dalam bola sepak, layak sahaja tidak mencukupi dan Getafe beraksi dengan sangat baik,” tambahnya.

Tanpa kelibat bintang Perancis, Kylian Mbappe, yang berada di Perancis bagi mendapatkan rawatan kecederaan lutut, Madrid telah menurunkan Gonzalo Garcia di jentera serangan bersama bintang Brazil, Vinicius Junior, di Stadium Santiago Bernabeu Stadium.

Real Madrid sebelum ini tewas kepada CA Osasuna hujung minggu lalu, sekali gus memberi ruang kepada Barca memintas mereka dalam perebutan gelaran dan pasukan kendalian Hansi Flick terus melebarkan jurang selepas membelasah Villarreal CF Sabtu lalu.

Vinicius, yang mempamerkan prestasi cemerlang tahun ini selepas permulaan musim yang tidak konsisten, mensia-siakan peluang awal terbaik pasukannya apabila percubaannya diselamatkan dengan baik menggunakan kaki oleh penjaga gol Getafe, David Soria.

Gerakan menarik daripada Arda Guler hampir memberikan gol pendahuluan kepada Madrid, namun Soria menepis keluar percubaan yang dilakukan oleh pemain Turkiye itu.

Getafe turut dikejutkan dengan pertembungan keras antara pertahanan Madrid, Antonio Rudiger dengan Diego Rico, apabila lutut pemain Jerman itu terkena kepala pemain Sepanyol berkenaan.

Penyerang Uruguay, Satriano, memecah kebuntuan menerusi rembatan menarik dari luar kotak penalti selepas rakan senegara, Mauro Arambarri, menanduk bola ke arahnya.

Soria, yang beraksi cemerlang, sekali lagi menyelamatkan percubaan Vinicius pada separuh masa kedua ketika pemain Brazil itu meminta sokongan lebih padu daripada penyokong Madrid.

Namun pasukan tuan rumah tidak banyak memberikan detik yang mampu membangkitkan sorakan, meskipun Rudiger hampir menyamakan kedudukan menerusi tandukan. – AFP

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: