PARIS, 9 MAC – Lens merapatkan jurang kepada hanya satu mata di belakang pendahulu Ligue 1, Paris Saint-Germain (PSG), semalam selepas menewaskan pasukan tercorot, Metz, 3-0 untuk menghidupkan semula cabaran gelaran mereka yang tidak dijangka.
Pemain antarabangsa Arab Saudi, Saud Abdulhamid, menjaringkan gol pembukaan pada lewat separuh masa pertama sebelum Florian Thauvin menggandakan kelebihan Lens sejurus selepas rehat.
Amadou Haidara melengkapkan kemenangan pada minit ke-52 ketika Lens meraih kemenangan pertama dalam tiga perlawanan sekali gus meneruskan tekanan ke atas PSG, yang tewas 3-1 di laman sendiri kepada Monaco Jumaat lalu.
“Masih ada beberapa halangan yang perlu ditempuhi, tetapi berada hanya satu mata di belakang PSG dengan sembilan perlawanan berbaki adalah sesuatu yang baik,” kata jurulatih Lens, Pierre Sage.
Metz, yang pernah menewaskan Lens awal musim ini, kekal di tangga tercorot liga. Mereka belum meraih kemenangan dalam liga sejak November dan hanya mengutip dua mata daripada 13 perlawanan terakhir.
Dalam satu lagi perlawanan semalam, Lyon menyelamatkan satu mata selepas menjaringkan penalti pada saat akhir untuk seri 1-1 menentang Paris FC di laman sendiri.
Lyon kini gagal mencatat kemenangan dalam tiga perlawanan berturut-turut Ligue 1 dan berada di tangga keempat di belakang Marseille berdasarkan perbezaan gol, manakala Paris FC berada 10 mata di atas zon penyingkiran automatik. – AFP
-- Courtesy of Media Permata