City bakal bertemu Liverpool di Piala FA
 Posted on : Mar 11, 2026, 3:20PM   2 total views  Category : Sports
Trofi FA Cup dipamerkan sebelum perlawanan pusingan kelima antara Wrexham AFC dan Chelsea FC di Racecourse Ground pada 7 Mac lalu. – AFP

LONDON, 10 MAC – Manchester City akan berdepan Liverpool FC dalam perlawanan tumpuan suku akhir FA Cup, manakala Arsenal FC yang sedang memburu empat kejuaraan musim ini akan bertandang ke gelanggang Southampton.

Undian pusingan lapan terakhir kelmarin turut menyaksikan Chelsea menerima kunjungan pasukan gergasi dari Liga Satu EFL, Port Vale, yang mengejutkan Sunderland AFC dengan kemenangan 1-0 pada pusingan kelima Ahad lalu.

West Ham United FC, yang menewaskan Brentford FC 5-3 menerusi penentuan sepakan penalti selepas terikat 2-2 semalam, akan menjadi tuan rumah kepada Leeds United FC dalam satu lagi aksi suku akhir.

Namun pertemuan terbaharu City dengan seteru mereka Liverpool menjadi perlawanan paling mencuri tumpuan dalam pusingan ini.

Pasukan kendalian Pep Guardiola itu telah pun menewaskan Liverpool dua kali musim ini, masing-masing menang 3-0 di Manchester pada November dan meraih kemenangan 2-1 di Anfield Februari lalu.

Ia juga akan menjadi pertemuan pertama antara kedua-dua kelab dalam Piala FA sejak Liverpool menang 3-2 pada peringkat separuh akhir tahun 2022. Liverpool, yang menewaskan Wolverhampton Wanderers FC 3-1 pada pusingan 16 terakhir, telah memenangi Piala FA sebanyak lapan kali, kali terakhir empat tahun lalu.

City pula, juara tujuh kali yang menewaskan Newcastle United FC 3-1 pada pusingan kelima, kali terakhir menjulang trofi itu pada 2023.

Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal, mara ke suku akhir selepas mencatat kemenangan 2-1 di gelanggang pasukan divisyen ketiga, Mansfield Town FC.

Skuad bimbingan Mikel Arteta itu akan bertandang menentang pencabar tempat play-off EFL Championship, Southampton, yang sebelum itu mengejutkan Fulham FC dengan kemenangan 1-0 pada pusingan kelima. – AFP

-- Courtesy of Media Permata

HITS: