Produk penjagaan kulit tidak boleh berubah dalam satu malam. Jika awda mahukan kulit yang berseri, persediaan tidak boleh dibuat seminggu sebelum raya. Kulit perlukan masa untuk pulih, kembali seimbang dan menunjukkan hasil yang nyata.
Sebaik-baiknya dicadangkan agar awda mula 30 hari lebih awal. Kekalkan rutin yang sesuai dengan jenis kulit, jangan terlalu kerap bertukar produk dan beri ruang untuk kulit menyesuaikan diri. Dengan langkah yang betul dan disiplin yang konsisten, kulit awda akan tampil lebih sihat, licin dan berseri tepat pada masanya pada pagi raya.
MINGGU PERTAMA, MEMBETULKAN SEMULA DAN DETOKS KULIT
Minggu pertama adalah fasa membetulkan semula kulit. Anggap ia sebagai masa untuk menenangkan kulit selepas mungkin terlalu banyak mencuba produk sebelum ini. Kembali kepada rutin asas yang ringkas tetapi konsisten seperti pencuci muka lembut, toner yang menghidrat, serum asas seperti hyaluronic acid, pelembap dan pelindung matahari setiap pagi. Elakkan eksperimen dengan retinol jika kulit belum betul-betul stabil. Cukup sekadar satu hingga dua kali seminggu untuk membuang sel kulit mati dan membantu produk menyerap dengan lebih baik. Fokus minggu ini hanyalah untuk menguatkan pelindung kulit.
MINGGU KEDUA, FOKUS PADA ISU KULIT
Masuk minggu kedua, barulah awda boleh lebih spesifik. Jika kulit kelihatan kusam, tambahkan serum vitamin C pada rutin. Jika jerawat mula muncul, pilih rawatan pada tempat tertentu atau serum dengan niacinamide yang lebih menenangkan. Tekstur yang tidak sekata boleh dirapikan dengan toner pengelupasan kulit seminggu sekali, manakala pigmentasi memerlukan serum pencerah yang konsisten digunakan pada waktu malam.
Apa pun yang awda tambah dalam rutin, pelindung matahari kekal sebagai langkah paling penting. Tanpa perlindungan UV, sukar untuk melihat perubahan yang ketara menjelang Raya.
MINGGU KETIGA, TINGKAT SERI DAN KELEMBAPAN
Minggu ketiga biasanya kulit sudah lebih stabil dan inilah masa untuk meningkatkan seri.
Tambahkan topeng muka beberapa kali seminggu untuk meningkatkan hidrasi dan gunakan topeng muka tidur agar kulit tampak lebih anjal ketika bangun sahur. Jika awda merancang untuk membuat rawatan muka, lakukan sekurang-kurangnya dua minggu sebelum raya supaya kulit sempat pulih sepenuhnya. Pada tahap ini, gaya hidup juga memainkan peranan besar. Cukupkan air ketika sahur dan berbuka, kurangkan gula berlebihan dan cuba dapatkan tidur yang berkualiti walaupun jadual sedikit padat.
MINGGU KEEMPAT, KEKALKAN DAN JANGAN BERLEBIHAN
Apabila memasuki minggu terakhir sebelum Syawal, disiplin menjadi kunci. Jangan terpengaruh untuk mencuba produk baharu secara tiba-tiba. Kekalkan rutin yang sudah serasi, kurangkan pengelupasan kulit dan fokus kepada hidrasi. Kulit yang cukup air akan kelihatan lebih halus, pori tampak lebih lembut dan solekan akan melekap dengan lebih cantik tanpa bertompok. – Agensi
-- Courtesy of Media Permata