Indonesia sasar peranan utama pelancongan mesra Muslim
 Posted on : Oct 12, 2025, 8:04AM   3 total views  Category : World
Widiyanti Putri Wardhana. – Agensi

JAKARTA, 10 OKT – Indonesia, yang mempunyai lebih 230 juta penduduk Islam dan terkenal dengan warisan semula jadi serta budaya yang kaya, sedang berusaha untuk memainkan peranan utama dalam pelancogan mesra Muslim, kata Menteri Pelancongan Indonesia, Widiyanti Putri Wardhana.

Beliau berkata skala besar Indonesia, kekayaan warisan serta kemudahan infrastrukturnya termasuk lebih 309,000 masjid dan 376,000 surau di lapangan terbang, pusat beli-belah dan lokasi pelancongan menjadi asas kukuh dalam menarik kedatangan pelancong Muslim.

Berucap pada Sidang Kemuncak Pelancongan Halal Antarabangsa di Jakarta Pusat kelmarin, Widiyanti menekankan kepentingan menambah baik tarikan, kebolehcapaian dan kemudahan bagi menyerlahkan penawaran pelancongan mesra Muslim di negara itu.

“Kita perlu merangka dan mempromosikan pengalaman ini sebagai sesuatu yang unik dan mesra Muslim, mencerminkan identiti kita serta menarik minat pelawat antarabangsa,” katanya dalam kenyataan.

Kementerian turut merancang untuk memanfaatkan 36 lapangan terbang antarabangsa, memperluas akses tanpa visa dan visa semasa ketibaan, serta memastikan persekitaran pelancongan yang inklusif dan selamat.

Produk yang diperakui halal sedang diperluaskan daripada 20 kampung pelancongan kepada 15,000 kampung di 15 wilayah, manakala portal khas untuk pelancong Muslim akan memudahkan peranca-ngan perjalanan. – Bernama

-- Courtesy of Media Permata

HITS: