SEOUL – Lari, seorang pemuda berusia 20 tahun dari Perancis, mendaki Gwanaksan di selatan Seoul semasa lawatan pertamanya ke Korea pada Jun lalu. Video YouTube penyanyi K-pop Boo Seung-kwan di puncak telah memberi inspirasi kepadanya, kerana dia merupakan peminat kumpulannya, Seventeen.
“Saya sangat menyukai pemandangan di sepanjang laluan pendakian, walaupun saya agak takut di puncak. Beberapa orang yang saya temui sangat baik dan seseorang juga membantu saya mencari jalan yang betul pada satu ketika,” kata Lari.
Dikenali sebagai sebuah destinasi sejak sekian lama terutamanya bagi penduduk tempatan yang lebih tua, laluan pendakian Korea kini menarik gelombang baharu kepada pengunjung seperti Lari, yang minatnya merangkumi budaya popular Korea hingga pemandangan semula jadi dan kehidupan seharian di negara itu.
MENCAPAI PUNCAK BAHARU
Menurut Pusat Pelancongan Mendaki Seoul berhampiran Taman Negara Bukhansan di Seoul, bilangan pelancong asing ke pusat itu mencecah 7,944. Ia lebih daripada empat kali ganda yang mana 1,753 pelancong pada tahun 2022 dan lebih dua kali ganda iaitu 3,237 yang melawat tahun lepas.
Bandar itu mengendali tiga pusat pelancongan mendaki, terletak di Bukhansan, Gwanaksan dan Bugaksan, pelancong asing telah menyumbang 25 peratus daripada sekitar 150,000 pengguna sejak 2022.
“Pusat ibu kota jarang mempunyai gunung setinggi ini, di mana pengunjung boleh menikmati pemandangan panorama semula jadi dan bandar pada masa yang sama,” kata Pengarah Institut Strategi Pelancongan Masa Depan, Jeong Ran-su.
“Kebolehcapaian gunung-ganang ini adalah salah satu kelebihan terbesarnya, membolehkan orang ramai sampai ke sana dalam masa kira-kira sejam dari pusat bandar dengan pengangkutan awam,” tambahnya.
Kemungkinan perjalanan pada hari yang sama, pelbagai laluan dengan tahap kesukaran yang berbeza dan suasana yang selamat susulan keberadaan para pendaki secara terus menerus dianggap sebagai tarikan bagi pelancong asing.
Jejak mereka kini melangkaui Seoul, dengan pengangkutan antara bandar dan perkhidmatan e-panggilan berasaskan mudah alih yang membolehkan pelancong sampai ke tempat permulaan denai hanya dalam beberapa jam dari ibu negara itu.
Tahun lepas, Seoraksan di Wilayah Gangwon dan Hallasan di Pulau Jeju masing-masing menyaksikan kira-kira 203,000 dan 130,000 pelancong antarabangsa, bersama-sama melebihi jumlah 166,000 pelancong yang direkodkan di seluruh taman negara Korea pada tahun 2022.
Hadong di Wilayah Gyeongsang Selatan dan Namwon di Wilayah Jeolla Utara, kedua-duanya bandar pintu masuk ke Taman Negara Jirisan, menyaksikan peningkatan bilangan pelancong antarabangsa masing-masing sebanyak 73 peratus dan 62.6 peratus, dari Januari hingga Oktober tahun lepas berban-ding bulan yang sama pada tahun 2023.
PENEROKAAN KEHIDUPAN
“Peningkatan jumlah bagi aktiviti mendaki juga sejajar dengan perubahan dalam trend pelancongan, kerana pelancong ke Korea melangkaui pemandangan mercu tanda dan mencari pengalaman yang berakar umbi dalam kehidupan tempatan, yang diserlahkan dalam kandungan berkaitan pelancongan berkaitan Korea,” jelas Jeong.
Gambar pelancong antarabangsa yang menikmati gimbap di puncak gunung kerap muncul di media sosial, manakala komuniti dalam talian menunjukkan catatan daripada pendaki yang mencari rakan sebaya untuk berkongsi makanan seperti baeksuk (sup ayam Korea), jeli acorn atau lempeng daun bawang dengan makgeolli selepas mendaki.
Hidangan-hidangan ini, yang dijual di kumpulan restoran berhampiran titik permulaan laluan mendaki, telah lama popular di kalangan pendaki Korea. Malah, lawatan berpandu juga telah muncul yang menggabungkan aktiviti mendaki di gunung-gunung tempatan dengan mencuba hidangan-hidangan ini, menyasarkan pelawat asing yang ingin mengetahui budaya mendaki di Korea.
‘Perjelajahan peminat,’ yang mengikuti jejak langkah bintang atau penghibur K-pop, juga telah muncul sebagai pendorong kuat untuk mendaki di Korea, kerana laluan dan lembah kerap muncul dalam catatan kehidupan seharian dan rancangan aneka ragam yang menampilkan idola.
Para peminat sering mengambil gambar kad foto atau anak patung yang mewakili idola mereka di lokasi yang telah dikunjungi oleh bintang-bintang itu dan mengongsikan dengan peminat lain. Melanie Hingpit dari Filipina, peminat kumpulan K-pop, Stray Kids, mendaki Bukhansan semasa lawatan keduanya ke Korea pada Oktober lalu. Di sana, dia bertemu dengan tiga peminat Stray Kids lain yang membawa anak patung yang mewakili watak ahli kumpulan itu.
Gunung itu mempunyai anak sungai di lembah tempat kumpulan lelaki itu merakam rancangan YouTube sambil makan baeksuk.
“Saya terus mencari lokasi penggambaran yang tepat tetapi tidak dapat menemuinya, jadi saya akhirnya mendaki sehingga ke puncak Bukhansan,” kata Hingpit. “Ia adalah cara saya sendiri untuk menghubungkan cinta saya terhadap gunung dengan cinta saya terhadap Stray Kids,” tambahnya.
Gunung itu juga popular dalam kalangan peminat BTS, kerana ahli kumpulan itu telah berkongsi detik-detik mendaki di sana. Hutan yang dinamakan sempena ahli BTS, Suga, yang dicipta oleh peminat untuk meraikan hari lahirnya pada 2023, telah menjadi tarikan lain bagi pengunjung ke gunung itu.
USAHA SEDANG BERMULA
Kerajaan tempatan sedang mempromosikan aktiviti mendaki untuk menarik pelancong asing, tetapi usaha itu masih di peringkat awal, dengan cabaran dalam memenuhi permintaan semasa dan menjana minat yang lebih besar.
Seoul secara rasminya melancarkan pusat pelancongan mendaki baharu di Gwanaksan pada April lalu, menjadikan jumlah pusat di bandar itu kepada tiga.
Pusat tersebut menawarkan maklumat laluan dalam bahasa Korea, Inggeris, Cina dan Jepun. Mereka juga menganjurkan lawatan berkumpulan untuk pengunjung Korea dan antarabangsa dan meminjamkan peralatan mendaki kepada pendaki warga asing.
Walau bagaimanapun, pemerhatian menunjukkan bahawa panduan bahasa asing di sepanjang laluan masih tidak mencukupi. – ANN/The Korean Herald
-- Courtesy of Media Permata