INDONESIA – Di tengah lautan Indonesia yang luas, sebuah kapal penyelidikan berteknologi tinggi bernama OceanXplorer membuka tirai kepada dunia sains marin moden.
AFP mengikuti misi kapal milik pertubuhan bukan keuntungan OceanX itu ketika ia meninjau gunung laut tersembunyi, membawa bersama harapan baharu terhadap pemahaman biodiversiti laut serta usaha pemuliharaan global.
HAB SEHENTI
Bekas kapal penerokaan minyak, OceanXplorer dimiliki OceanX yang diasaskan oleh pelabur kaya Ray Dalio bersama anaknya, Mark.
Ia dinaik taraf dengan pelbagai kemudahan, daripada makmal pengurutan genetik hingga helikopter untuk tinjauan udara.
Ia ibarat “impian seorang penyelidik”, menurut Sekar Mira, pakar mamalia marin dari Agensi Penyelidikan dan Inovasi Kebangsaan Indonesia (BRIN).
Terdapat dua kapal selam mini, satu dilengkapi kamera 8K untuk kandungan definisi ultra tinggi, dan satu lagi khusus sains bagi mengutip sampel sehingga kedalaman 1,000 meter.
Untuk penerokaan lebih dalam, terdapat kenderaan kawalan jauh yang mampu menyelam sehingga 6,000 meter, selain radar pemetaan, jaring bongo untuk menangkap plankton serta instrumen CTD (kekonduksian, suhu dan kedalaman).
“Ia pada asasnya sebuah hab sehenti untuk sains lautan,” kata ketua misi Andrew Craig.
“Tiada yang seumpamanya di dunia.”
PASUKAN SAINS BERGILIR
OceanXplorer hampir berterusan berada di laut sejak 2021. AFP menyertainya ketika kapal itu meninjau biodiversiti di rangkaian gunung laut berhampiran Pulau Sulawesi.
Setiap misi melibatkan kerjasama institusi kerajaan dan penyelidikan tempatan, serta pasukan saintis baharu.
Kali ini termasuk Sekar, pakar ‘megafauna’ yang mengkaji paus dan ikan lumba-lumba, serta pakar genetik dan bioteknologi molekul Husna Nugrahapraja, yang menjalankan “bioprospeksi” untuk mencari sebatian ubatan baharu.
“Kami akan mengekstrak DNA dan melakukan penjujukan metagenomik… kemudian kami lombong data itu,” kata Husna, penolong profesor di Institut Teknologi Bandung.
Keupayaan melakukan semua itu terus di atas kapal disifatkannya sebagai “sangat mengagumkan”.
Ahli biologi marin BRIN, Nur Fitriah Afianti pula meneliti sisa plastik dari ribuan meter di bawah permukaan laut bagi mencari mikrob berguna.
“Mungkin mikrob itu boleh mencerna sisa plastik. Mungkin, saya harap,” katanya.
KERJA eDNA
Saintis jemputan turut dibantu pakar OceanX seperti Larissa Fruehe, pakar DNA persekitaran (eDNA).
Beliau menyifatkannya sebagai ‘perkara paling hebat’ kerana potensinya mengesan spesies lama selepas ia meninggalkan sesuatu kawasan.
“Setiap organisma melepaskan DNA ke persekitarannya” dalam bentuk bulu, rambut, sisik, lendir atau najis, katanya.
Menapis kesan itu daripada tanah, udara atau air mampu memberikan gambaran tentang apa yang pernah melalui kawasan tersebut.
OceanXplorer boleh menjalankan keseluruhan aliran kerja eDNA, daripada pengambilan sampel hingga analisis bioinformatik.
Antara penyelidik eDNA di atas kapal ialah pakar ikan coelacanth, Alex Masengi, yang memburu tanda-tanda ikan purba itu pada kedalaman 900 meter iaitu jauh di bawah julat habitat yang diketahui.
SENTUHAN HOLLYWOOD
OceanX turut membawa pereka Hollywood bagi menjadikan kapal itu lebih ‘mesra kamera’, dengan pusat kawalan futuristik serta pencahayaan boleh ubah untuk penggambaran optimum.
Ia satu usaha sengaja untuk menjadikan sains marin lebih menarik kepada khalayak massa, termasuk empat juta pengikut TikTok OceanX.
OceanX tidak mendedahkan kos kapal atau bajet operasinya, namun rekod cukai AS 2024 badan induknya melaporkan perbelanjaan melebihi AS$44 juta.
Sebahagian besar dana datang daripada keluarga Dalio, dengan geran luar turut membantu membiayai misi.
Walaupun sains yang dibiayai secara persendirian kadangkala kontroversi, OceanX menegaskan semua penyelidikannya boleh diakses awam, dan ia kerap bekerjasama dengan kerajaan serta institusi yang kekurangan sumber untuk sains marin.
PENEMUAN DAN RAKAMAN PERTAMA
Misi OceanXplorer telah menghasilkan puluhan kertas saintifik, daripada tingkah laku jerung laut dalam di Laut Merah hingga kajian paus dan ikan lumba-lumba di Indonesia.
Kameranya turut merakam rakaman jarang kumpulan coelacanth berhampiran Indonesia, serta kolam air masin yang baru ditemui di Laut Merah.
Di antara misi, pelajar turut dijemput menaiki kapal sebagai sebahagian daripada program pendidikan OceanX.
“Ia tentang pemuliharaan, pendidikan dan penerokaan,” kata Craig.
“Mereka mahu ke tempat baharu, mahu meneroka, dan mahu membawa pulang pengetahuan itu untuk dikongsi dengan orang ramai.” – AFP
-- Courtesy of Media Permata