Runtuhan salji: Operasi cari 9 pemain ski masih dilaksana
 Posted on : Feb 19, 2026, 10:23AM   4 total views  Category : World
Gambar Freepik

LOS ANGELES, 18 FEB – Operasi pencarian giat dijalankan bagi mengesan sembilan pemain ski kawasan pedalaman yang dilaporkan hilang hari ini selepas kejadian runtuhan salji di pergunungan California, ketika ribut besar menurunkan salji tebal di kawasan itu.

Pegawai memaklumkan sekumpulan 15 individu terperangkap dalam runtuhan salji di Castle Peak, kawasan Tahoe, lewat pagi kelmarin.

Enam pemain ski berjaya diselamatkan pada petang kelmarin dengan ‘pelbagai tahap kecederaan’, menurut Pejabat Sheriff Daerah Nevada, namun pasukan penyelamat gunung yang berdepan keadaan berbahaya masih berusaha mencari mangsa lain ketika salji terus turun dan waktu siang semakin singkat.

Dua daripada mangsa yang diselamatkan dibawa ke hospital untuk menerima rawatan.

Pihak berkuasa sebelum ini menyatakan 16 individu, empat jurupandu dan 12 pelanggan, menyertai ekspedisi tersebut, sebelum angka itu disemak kepada 15 orang.

“Disebabkan keadaan cuaca yang melampau, pasukan penyelamat mengambil masa beberapa jam untuk sampai dengan selamat kepada pemain ski dan membawa mereka ke lokasi selamat untuk pemeriksaan perubatan oleh Truckee Fire,” menurut kenyataan pejabat sheriff pada petang kelmarin.

“Operasi pencarian masih diteruskan, bergantung kepada keadaan cuaca.”

Seramai 46 anggota kecemasan terlibat dalam operasi itu, termasuk “pasukan ski penyelamat berkemahiran tinggi” dari Boreal Mountain Ski Resort dan Pusat Pengembaraan Alder Creek Tahoe Donner, yang dihantar bagi menyelamatkan enam mangsa yang dikenal pasti terselamat.

Ribut kuat yang membawa timbunan salji setinggi beberapa meter terus melanda banjaran Sierra Nevada sepanjang hari, dengan peramal cuaca memberi amaran mengenai keadaan penglihatan sifar.

Pakar memberi amaran bahawa risiko runtuhan salji dijangka berterusan hingga hari ini. – AFP

-- Courtesy of Media Permata
 

HITS: