WASHINGTON, 20 FEB – Presiden AS Donald Trump berkata pada kelmarin bahawa beliau arahkan agensi persekutuan untuk mula ‘kenal pasti dan bebaskan’ fail kerajaan yang berkaitan dengan UFO dan makhluk asing, yang merupakan satu usaha siasatan oleh sesetengah rakyat Amerika selama beberapa dekad.
“Berdasarkan minat yang ditunjukkan, saya akan arahkan Setiausaha Perang, dan Jabatan dan Agensi berkaitan yang lain, untuk mulakan proses kenal pasti dan bebaskan fail kerajaan yang berkaitan dengan makhluk asing dan kehidupan luar angkasa, fenomena udara yang tidak dikenali (UAP) dan juga objek terbang yang tidak dikenali (UFO),” Trump menyiarkan di platform Truth Social beliau.
Walaupun beliau tidak menyatakan sama ada dokumen sulit akan dikeluarkan kepada orang ramai, Trump menambah bahawa fail tersebut harus merangkumi, ‘sebarang dan semua maklumat lain yang berkaitan dengan perkara yang sangat kompleks, tetapi sangat menarik dan penting.”
Terdahulu, Trump mendakwa Barack Obama telah mendedahkan ‘maklumat sulit’ dalam ucapan podcast viralnya baru-baru ini tentang kewujudan kehidupan luar angkasa.
“Mereka adalah benar tetapi saya belum pernah melihatnya dan mereka tidak disimpan di Area 51,” kata Obama kepada pengacara Brian Tyler Cohen, merujuk kepada kemudahan tentera AS yang paling rahsia di Nevada yang menjadi tumpuan banyak teori konspirasi UFO. “Tiada kemudahan bawah tanah. Melainkan, terdapat konspirasi besar dan mereka menyembunyikannya daripada presiden Amerika Syarikat.”
Ditanya kelmarin tentang komen tersebut, Trump memberitahu pemberita bahawa Obama telah, “memberikan maklumat sulit, dia sepatutnya tidak berbuat demikian.”
Presiden itu tidak menyatakan bahagian mana daripada kenyataan Obama yang dirahsiakan, tetapi mendakwa, “dia telah melakukan kesilapan besar.”
Trump juga berkata “Saya tidak tahu sama ada mereka nyata atau tidak, ” apabila ditanya tentang kepercayaannya terhadap makhluk asing.
Pada Mac 2024, Pentagon telah mengeluarkan laporan yang mengatakan tiada bukti bahawa UAP adalah teknologi makhluk asing, dengan banyak penampakan yang mencurigakan ternyata hanyalah belon cuaca, pesawat pengintip, satelit dan aktiviti biasa yang lain. – AFP
-- Courtesy of Media Permata